Khamis, 30 Mac 2017

Selangor tanpa Nizaruddin



ARKIB : 01/04/2003
SELANGOR terpaksa membayar harga yang mahal bagi kemenangannya ke atas Pilihan Singapura, Sabtu lalu kerana tidak dapat menggunakan khidmat penyerangnya, Nizaruddin Yusof yang cedera bagi perlawanan bola sepak Perdana Satu menentang Perlis malam ini.

Menurut pemain itu, dia mengalami kecederaan pada kakinya selepas perlawanan dengan Pilihan Singapura dan tidak akan diturunkan dalam perlawanan dengan Perlis.

``Selepas perlawanan (menentang Pilihan Singapura) kaki saya sakit dan lama kelamaan membengkak,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam perlawanan merebut Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam tempohari, Nizaruddin menjadi pemain paling menyerlah apabila menyumbat dua gol untuk membenam cabaran pasukan singa selatan, 4-1.

Namun Selangor tidak dapat mengharap aksi serupa daripada pemain itu bagi menjinakkan pasukan singa utara, Perlis di Stadium Utama Kangar malam ini.

Nizaruddin nyata kecewa kerana tidak dapat bersama dalam misi menamatkan kemarau kemenangan yang dihadapi pasukan itu sejak Februari lalu.

``Saya benar-benar berharap dapat bermain esok (hari ini) tetapi apakan daya saya cedera,'' katanya yang tidak menyertai rakan-rakan sepasukan ke utara tanah air.

Dengan ketiadaan pemain itu bermakna Selangor terpaksa bergantung kepada Mass Sarr Jr, Rusdi Suparman, Farid Shah atau Rudie Ramli bagi menggempur kubu Perlis.

Selangor yang hanya mencatat satu kemenangan liga setakat ini dan berada di tangga ke-10 Perdana Satu, benar-benar memerlukan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan tersebut.

Namun mereka akan berdepan tugas sukar menentang Perlis yang berada di tangga ketiga dan dianggap antara pasukan pilihan musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4coSXVbyW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan