Sabtu, 4 Mac 2017

Selangor terikat 1-1 di Terengganu

ARKIB : 05/07/2000
SELANGOR gagal mengekori rapat Pulau Pinang untuk terus mencabar kedudukan teratas dalam bola sepak Liga Perdana Satu, apabila diikat 1-1 oleh Terengganu pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Pasukan Red Giants yang sebelum ini berkongsi 29 mata dengan Pulau Pinang tetapi berada di tempat kedua berdasarkan jaringan, kini ketinggalan dua mata selepas pencabarnya itu menang tipis 1-0 ke atas Pahang.

Skuad K. Rajagopal ketinggalan 1-0 kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-11 menerusi Sapian Wahid tetapi Mohd. Faisal Esahar menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-68.

Sementara itu pemain tengah, S. Saravanan muncul wira Kuala Lumpur apabila jaringannya pada minit ke-83 membolehkan pasukan itu mengalahkan Perak 1-0 di Stadium KLFA, Cheras.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Kuala Lumpur di antara pasukan di pertengahan kedudukan liga, tetapi Perak terus berada antara lima pasukan teratas.

Seperti dijangka, Perak menguasai permainan tetapi gagal menemui penyudah yang baik.

Kedua-dua pasukan bermain berhati-hati pada separuh masa pertama.

Corak permainan separuh masa kedua kemudian berubah dan menarik.

Perak banyak mencuba, tetapi ketangkasan penjaga gol Kuala Lumpur Kamarul Idham memusnahkan peluang mendapatkan gol.

Kuala Lumpur bagaimanapun tidak hampa dan S. Saravanan menjadi pemusnah pasukan pelawat apabila menjaringkan gol tunggal dan kemenangan pasukannya pada minit ke-83.

Sementara itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pasukan tuan rumah Sabah terpaksa menunggu pada minit terakhir perlawanan untuk mengatasi Perlis dengan kemenangan tipis 1-0.

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Sabah dalam liga selepas 16 perlawanan tetapi mereka kekal di tangga kedua terbawah kedudukan pasukan.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama dan gol tunggal perlawanan hanya hadir pada minit terakhir perlawanan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Suharmin Yusof.

Di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pasukan tuan rumah, Brunei mencatat kemenangan kedua dalam kempen liga ini selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0.

Penyerang Riwandi Wahit meletakkan Brunei di depan menerusi rembatan kencang pada minit ke-24 dan gol itu nyata memberi semangat bagi kesebelasan pemain tuan rumah yang menggandakan asakan ke kubu Negeri Sembilan.

Hasilnya, Brunei meraih gol kedua apabila Irwan Mohammad menggegarkan jaring pasukan pelawat pada minit ke-28.

Negeri Sembilan berusaha merapatkan jurang pada babak kedua, tetapi semua percubaan mereka tidak berhasil akibat jentera serangan yang tumpul.

Dengan kemenangan itu, Brunei, yang masih menghuni tangga tercorot dalam kedudukan liga, kini mengumpul sembilan mata selepas 16 perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4aNyjLReC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan