Sabtu, 11 Mac 2017

Selangor tambat pemain negara

ARKIB : 04/11/2000
SELANGOR yang semakin pasti mendapat khidmat jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim diperkukuhkan lagi dengan kehadiran empat pemain negara yang menggalas cabaran ke kejohanan bola sepak Piala Tiger di Songkhla, Thailand, esok.

Mereka ialah Hairuddin Omar (Terengganu), Khairil Zainal (Pulau Pinang), Nizaruddin Yusof (Kuala Lumpur) dan Bakthiar Osman (Johor).

Manakala seorang lagi pemain yang akan menyarung jersi Merah Kuning ialah bekas pemain skuad Olimpik 2000 yang juga pemain tengah Kelantan, Tengku Hazman Raja Hassan.

Bagaimanapun, Bakthiar terpaksa disisihkan daripada skuad kebangsaan selepas ditimpa kecederaan.

Perkara itu disahkan oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak (FAS) yang telah diputuskan dan dipersetujui oleh pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad.

Kehadiran lima pemain baru Selangor itu bertepatan dengan kehadiran Rahman yang dijangka menandatangani kontrak dengan Selangor sewaktu skuad negara menggalas cabaran di Songkhla.

Mokhtar yang akan ditemani oleh Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin akan turut menyertai skuad bola sepak kebangsaan ke Piala Tiger dengan tujuan untuk memeterai ikatan Rahman dengan Selangor.

''Kelima-lima pemain itu tidak terikat dengan pasukan masing-masing apabila kontrak mereka berakhir Disember ini dan mereka telah bersetuju untuk menerima tawaran Selangor,'' ujar sumber kepada Sukan Utusan, semalam.

Menurut sumber itu lagi, kelima-lima pemain itu akan menandatangani kontrak sekembalinya mereka dari Thailand nanti.

Yang pastinya kehadiran kelima-lima pemain itu akan memperkukuhkan cabaran Merah Kuning selepas mengetepikan empat pemain senior iaitu ketua pasukan, K. Sanbagamaran, Assrof Hanafiah, Nazzab Hidzan dan Zami Mohd. Noor.

Sebelum ini, Selangor turut mengetepikan jurulatihnya, K. Rajagopal termasuk dua pembantu jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan Mohd. Shah Norbit.

Oleh: AMRAN MULUP

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4b5y8lJW6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan