ARKIB : 21/01/2002
Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT
KEMENANGAN 2-1 ke atas juara
Piala Malaysia, Terengganu pada perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah
kelmarin menjadi petanda awal kebangkitan semula pasukan Selangor dalam arena
bola sepak tanah air.
Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar
Ahmad berkata, kemenangan itu adalah penyuntik semangat untuk membolehkan para
pemain meneruskan aksi cemerlang sepanjang kempen Liga Malaysia diadakan.
``Ini merupakan amaran awal dan
saya berharap semua pemain dapat meneruskan perjuangan dengan mempamerkan aksi
terbaik masing-masing sehingga ke kemuncak Liga Malaysia.
``Matlamat utama kita adalah
untuk kembali memulihkan imej pasukan dengan meletakkan ia seperti di zaman
kebangkitan sebelum ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita sebaik wisel penamat menentukan kejayaan Red Giants merangkul Piala
Sultan Ahmad Shah, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu,
semalam.
Dalam perlawanan itu, bekas
pemain kebangsaan, Azman Adnan membuktikan dia masih berbisa setelah
menjaringkan dua gol bergaya untuk memastikan kemenangan pasukannya.
Manakala pasukan tuan rumah
yang menurunkan pemain import, Seidu Issifu, hanya mampu menghasilkan jaringan
menerusi tandukan Wan Rohaimi Ismail.
Menurut Mokhtar, biarpun tanpa
pemain import skuadnya masih mampu mencipta kemenangan ke atas pasukan yang
dikatakan memiliki semangat juang dan persembahan konsisten.
``Pada babak awal permainan
saya berasa agak cemas apabila pasukan lawan berjaya membuka jaringan, tetapi
suasana itu kembali reda setelah pemain kita dapat mengunci rentak tuan rumah.
``Kita akan meneruskan
pencarian pemain import terbaik bagi memastikan skuad Selangor kembali mantap musim
ini,'' jelas beliau.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bqpEC3yF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan