Sabtu, 25 Mac 2017

Atasi gerakan berbahaya



ARKIB : 02/11/2002


KEN Worden mengingatkan barisan pemain Selangor supaya sentiasa berwaspada dengan Sabah apabila turun beraksi pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia malam ini.

Jurulatih itu berkata, semua pemain dalam skuad Badak memiliki keupayaan besar untuk meranapkan impian Merah Kuning.

``Ini berdasarkan pengalaman saya semasa melatih pasukan itu pada awal kempen liga. Sabah adalah satu pasukan yang mantap di semua posisi dan memiliki pemain yang bagus.

``Saya tahu mereka memiliki kemampuan untuk mengekang pasukan lawan. Pemain mereka seperti Shahril Arsat dan penyerang, Zainizam Marjan amat berbahaya.

``Tetapi mereka juga ada kelemahan dan di situlah kita harus gunakan peluang sebaik-baiknya,'' katanya.

Worden membimbing Selangor ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam tempoh tujuh tahun mengendali pasukan Red Giants.

Jurulatih dari Australia itu menghadiahkan Piala Malaysia kepada Selangor pada 1995 dan 1996 sebelum berpisah dengan Merah Kuning.

Worden kemudian pulang ke Australia tetapi kembali ke Malaysia tahun ini dan membimbing Sabah mengharungi kempen liga sebelum dipecat oleh pengurusan skuad Badak pada pertengahan musim.

``Walaupun Sabah kehilangan tiga pemain tonggak akibat penggantungan tetapi mereka memiliki ramai pemain yang mampu mengisi tempat itu,'' tambah Worden.

Sabah, yang memburu gelaran sulung dalam pertandingan berprestij ini, kehilangan pemain berpengalaman, K. Sanbagamaran, Shahrin Majid dan ketua pasukan, Jelius Ating akibat penggantungan perlawanan.

Tugas ketua pasukan diberikan kepada bekas pemain Selangor, Shahril Arsat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOabXMe4© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan