ARKIB : 06/10/2000
SITUASI berbeza dihadapi
Selangor dan Negeri Sembilan menjelang perlawanan separuh akhir kedua bola
sepak Piala Malaysia, esok biarpun masing-masing memiliki kelebihan satu gol ke
atas pasukan lawan.
Kemenangan tipis 2-1 yang
dicatat Red Giants dan si Rusa pada separuh akhir pertama Selasa lalu, tidak
menggambarkan keselesaan mutlak buat kedua-dua pasukan.
Selangor bakal menerima tekanan
paling besar kerana mereka terpaksa bermain di gelanggang lawan di Ipoh
menentang Perak, yang turut terkenal dengan penyokong fanatiknya.
Jelas kelebihan satu gol begitu
memanaskan punggung K. Rajagopal, tetapi Karl Heinz Weigang juga tidak senang
duduk menanti debaran Sabtu ini sama ada anak buahnya mampu menyekat 'Gergasi
Merah' menerusi kelebihan tempat sendiri.
Negeri Sembilan berbeza
suasananya. Dua gol yang dicuri dari Kuching nyata berharga dan Stadium Tuanku
Abdul Rahman serta sorakan penyokong sendiri di Paroi, diharap menjadi gelanggang
bertuah buatnya.
Si Rusa pasti mahu melakar
sejarah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat pertama kali sejak
1948.
Rekod bersih pasukan Mohd. Zaki
Sheikh Ahmad ini turut mendorong kepada kejayaan lebih besar Negeri Sembilan.
Mereka bukan sahaja tidak
pernah kalah, tetapi tidak pernah seri sepanjang kempen Piala Malaysia musim
ini.
Namun, Jalil Ramli ada cara
untuk mencacatkan rekod si Rusa. Pengalaman selaku finalis tahun lalu pasti
digunakan sepenuhnya pada perlawanan terpenting Sabtu ini.
Biarpun Negeri Sembilan
memiliki kelebihan tempat sendiri, Sarawak bakal memusnahkan kelebihan itu di
hadapan penyokong lawan.
Di sini jelas kedudukan
Selangor dan Negeri Sembilan tidak selamat. Perak dan Sarawak memerlukan
kemenangan dua gol, sementara Selangor dan Negeri Sembilan hanya perlu
memastikan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke akhir di Stadium Shah
Alam, 15 Oktober ini.
Apa sahaja boleh berlaku. Andai
Negeri Sembilan terlalu yakin dengan kemampuan mereka, ia boleh memakan diri
sendiri.
Perlu diingat, rekod pertemuan
mereka dengan Sarawak di Paroi selalunya memihak kepada skuad Bumi Kenyalang
itu.
Dalam aksi Perdana Satu musim
ini, pertemuan kedua-dua pasukan di Paroi berakhir dengan keputusan seri,
tetapi di Kuching, Negeri Sembilan mengatasi Sarawak 2-1. Keputusan ini
berulang ketika pertemuan separuh akhir pertama Selasa lepas.
Apa pun, Negeri Sembilan tetap
dilihat sebagai pasukan pilihan ke final lebih-lebih lagi dengan semangat untuk
mengulangi kejayaan 52 tahun lalu. Ia melangkah ke perlawanan akhir buat
pertama kali pada 1948 dan menewaskan Selangor 2-1.
Sarawak pula telah merasai
bahang perlawanan akhir tahun lepas dan mereka tiada pilihan lain di Paroi
selain mencari kemenangan 2-0.
Berbanding Negeri Sembilan,
juara Piala Malaysia 28 kali, Selangor menghadapi laluan sukar memandangkan
lawan mereka Perak bukanlah pasukan yang mudah menyerah di tempat sendiri.
Seperti juga Sarawak, Perak
perlu mencari dua gol untuk menyekat kemaraan Selangor yang hanya memerlukan
keputusan seri.
Dengan kekentalan Perak yang
begitu sukar untuk ditembusi di tempat sendiri akan menjadikan pertemuan dengan
Selangor nanti sukar untuk diramalkan. Kedua-dua pasukan memiliki peluang sama
rata untuk mencatat kemenangan.
Selangor pula tidak boleh
meletakkan sasaran hanya untuk seri kerana ia akan memberi tekanan kepada
pemain mereka.
Andai pemain skuad Merah Kuning
berupaya mengekalkan tahap kecemerlangan mereka, jalan ke akhir akan dilalui
tanpa halangan sekali gus memenuhi impian mencatat kejayaan berganda musim ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b43Xz27j
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan