ARKIB : 23/08/2000
PENYERANG Selangor, Rusdi
Suparman (kanan) dipeluk oleh rakan sepasukan ketika meraikan gol pertamanya
ketika menentang Pahang pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium
Shah Alam, semalam. Selangor menang 5-1.
JUARA Perdana Satu, Selangor
mencatatkan kemenangan besar, 5-1 ke atas Pahang yang bermain dengan 10 orang
pada perlawanan pembuka tirai bola sepak Piala Malaysia peringkat kumpulan A di
Stadium Shah Alam, semalam.
Pahang yang seakan-akan mampu
menyaingi Selangor bagaimanapun gagal apabila penyerangnya, Shahrin Majid
diperintah meninggalkan padang pada minit ke-29 sekali gus membuka ruang luas
buat lawannya menyumbat gol demi gol.
Selangor tampak begitu
bersemangat apabila mengasak garang sebaik sepakan pertama. Dan, ketika
permainan baru berusia seminit, tuan rumah sudah pun memperoleh gol pertamanya
menerusi penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman yang mudah menewaskan penjaga gol
Pahang, Azrul Hisyam Yusoff selepas menerima hantaran Assrof Hanafiah dari
tengah.
Jaringan Rusdi yang menyumbat
dua gol pada Pestabola Merdeka baru lalu, sebaliknya mengubah permainan
kedua-dua pasukan kepada semakin perlahan dan gerakan yang kucar-kacir.
Sepanjang 20 minit selepas itu,
hanya persembahan hambar dipersembahkan kepada kira-kira 10,000 peminat di Stadium
Shah Alam.
Perlawanan hidup semula pada
minit ke-23 apabila Shahrin berjaya menyamakan kedudukan untuk pelawat dengan
tandukan terbang setelah Jalalludin Jaafar membuat hantaran lintang ke depan
pintu gol.
Kebangkitan Pahang kemudian
terjejas teruk apabila Shahrin dibuang padang kerana mempertikaikan keputusan
pengadil pada minit ke-29.
Bekas penyerang Red Giants itu
pada mulanya dilayangkan kad kuning kerana terjahan kerasnya terhadap pemain
lawan setelah tiupan wisel. Dia yang tidak berpuas hati dengan keputusan
pengadil, Mohd. Nazri Abdullah mempertikaikan keputusan itu dan akhirnya
diberikan kad merah.
Walaupun cuba bertahan, namun
Pahang semakin tidak terdaya selepas babak kedua dengan Selangor menggunakan
segala kesempatan untuk membuat percubaan ke arah gol.
Pertahanan Tok Gajah nyata
terlalu rapuh untuk menghalang gempuran Selangor yang mendapat gol ketiganya
pada minit ke-57 setelah sepakan kencang ketua pasukan, K. Sanbagamaran muntah
dari tangkapan Azrul Hisyam dan pemain pertahanan, P. Saravanan yang cuba
membantu tersepak bola ke dalam gol sendiri.
Kedudukan tuan rumah semakin
kukuh apabila Rusdi menjaringkan gol hatrik pada minit ke-63 setelah menerima
hantaran lintang pemain gantian, S. Sivaram.
Pahang yang tampak sudah
kehilangan semangat terus tenggelam apabila Selangor semakin melebarkan jurang
gol dengan jaringan kelimanya menerusi sepakan kencang Nazzab Hidzan dari jarak
kira-kira 20 meter pada minit ke-65.
Sementara itu, Pulau Pinang
memulakan kempen Piala Malaysia dengan sekadar berkongsi mata dengan Kuala
Lumpur apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium
Bandaraya, Pulau Pinang, semalam.
Naib juara liga Perdana Satu
dan Piala FA itu bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Kuala Lumpur
menerusi Mohd. Imran Ahmad pada minit ke-66, sebelum R. Suresh Kumar melegakan
penyokong Harimau Kumbang apabila menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-69.
Seawal minit permainan
membayangkan aksi bersemangat Pulau Pinang yang memulakan serangan ke kubu
Kuala Lumpur.
Namun kegagalan barisan skuad
Harimau Kumbang untuk membolosi benteng pertahanan Kuala Lumpur menyekat hajat
tuan rumah untuk mencari jaringan awal.
Permainan kemudiannya bertukar
rentak dengan persembahan hambar kedua-dua pasukan yang gagal membuat percubaan
menarik apabila bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Bagaimanapun Pulau Pinang
dihidangkan dua peluang keemasan menerusi rembatan Khairil Zainal yang sedikit
tersasar pada minit ke-22 diikuti sepakan Ng Kok Heng ditepis penjaga gol,
Kamarulidham Amiruddin dua minit kemudian.
Selepas berakhir babak pertama
dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, Pulau Pinang terlebih dahulu
memperoleh peluang tetapi Hasmawi Hassan gagal menyepak masuk sekalipun hanya
berdepan dengan penjaga gol, Kamarulidham pada minit ke-46.
Kuala Lumpur juga memperoleh
kesempatan terbaik dalam satu serangan balas apabila penyerang kebangmsaan,
Nizaruddin Yusof melakukan rembatan kencang dari jarak 35 meter tetapi penjaga
gol Pulau Pinang, Kamarulzaman Hassan lebih pantas menepis keluar pada minit
ke-51.
Asakan bertali arus daripada
Kuala Lumpur akhirnya memberi tekanan kepada Pulau Pinang sehingga membiarkan
pemain pertahanan skuad warga kota , Mohd. Imran Ahmad melakukan sepakan
lambung yang mudah menewaskan penjaga gol, Kamarulzaman Hassan pada minit
ke-66.
Menyedari ketinggalan satu
jaringan, pulau pinan terus melakukan serangan balas yang menyaksikan dalam
satu pergelutan di depan pintu gol Kuala Lumpur, R. Suresh Kumar berjaya
menyepak masuk jaringan penyamaan tiga minit kemudian.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4auwRO8cA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan