Jumaat, 17 Mac 2017

Aksi Selangor tercemar


 

ARKIB : 23/05/2001
PEMAIN Selangor, Asmawi Bakiri (kiri) berjaya melepasi pemain Pulau Pinang, Hasmawi Hassan pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam. Pulau Pinang menang 1-0. - Gambar ASWAD YAHYA.

SELANGOR mara ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas melengkapkan agregat 4-1 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan suku akhir kedua yang tercemar dengan pergaduhan pemain di Stadium Shah Alam, semalam.

Selangor yang menang mudah 4-0 pada perlawanan pertama, tumpas 1-0 pada suku akhir kedua apabila dikejutkan dengan gol tunggal pasukan pelawat menerusi Fareed Shah Hasan pada minit ke-35, sebelum pergaduhan meletus antara pemain kedua-dua pasukan.

Pengadil dari Terengganu, Mohd. Shukri Mohd. Amin melayangkan tiga kad merah - dua kepada pemain Pulau Pinang, Mohd. Noor Derus dan Mohd. Fareed Shah, manakala satu lagi kepada pemain tuan rumah, Tengku Azman Raja Hassan.

Sementara itu, JKR Kelantan muncul kelab tunggal mara ke separuh akhir selepas mengikat keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan untuk agregat 3-2 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Gol JKR Kelantan dijaringkan oleh Zool Ihsan Yunus pada minit ke-16 menerusi sepakan percuma dari jarak 40 meter, manakala tuan rumah menyamakan kedudukan hasil tandukan Mohd. Shukor Adan, minit ke-24.

Sarawak turut melayakkan diri ke separuh akhir menerusi agregat 5-4 apabila seri 2-2 dengan satu lagi kelab, Johor FC dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sarawak, Kuching, semalam.

Sarawak yang menewaskan Johor FC 3-2 dalam perlawanan suku akhir pertama, bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan gol sendiri oleh Mohd. Azley Abdullah seawal minit ketiga permainan.

Begitupun, penyerang berbisanya, Ramles Sari berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Selepas terikat 1-1 pada masa pertama, Sarawak yang menggandakan asakan memperoleh gol kedua menerusi Mohd Ali Sapiee pada minit ke-58, sebelum Idris Karim menyamakan kedudukan buat Johor FC, minit ke-77.

Dalam pada itu, juara Piala Malaysia musim lalu, Perak gagal menyekat Sabah daripada mara ke separuh akhir selepas seri 1-1 pada suku akhir kedua untuk agregat 1-4 di Stadium Perak, Ipoh.

Perak yang tumpas 3-0 pada suku akhir pertama lalu, dikejutkan oleh gol pendahuluan Sabah hasil jaringan Suharmin Yusof pada minit ke-37, sebelum Mohd. Khalid Jamlus menyamakan kedudukan, minit ke-66.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bdHtXc9e

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan