Sabtu, 25 Mac 2017

Gandingan pantas jadi keutamaan Selangor



ARKIB : 31/10/2002
KEN Worden (tengah) bersama pemainnya mengangkat tiang gol semasa latihan di padang PKNS semalam, menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Sabah di Bukit Jalil, Sabtu ini.

SELANGOR yang memburu gelaran Piala Malaysia ke-29 menjanjikan permainan pantas dan menyerang apabila menentang Sabah dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini, lapor NORZIE KHASBI.

Jurulatih skuad Red Giants, Ken Worden berkata, generasi baru pemain Selangor mempunyai kemampuan untuk beraksi lebih pantas dan bertenaga sepanjang 90 minit permainan.

Kelebihan itu tegasnya akan digunakan sebagai senjata terbaik untuk memerangkap Sabah.

``Saya percaya perlawanan akhir Selangor-Sabah kali ini pasti jauh lebih menarik berbanding pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam, tujuh tahun lalu,'' kata Worden selepas sesi latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya semalam.

``Selangor dengan barisan pemain muda yang agresif akan berdepan Sabah, sebuah pasukan yang mempamer peningkatan besar serta memiliki pemain individu yang hebat,'' katanya.

``Secara keseluruhan, kekuatan Selangor dan Sabah adalah seimbang, jadi kita harus mencari formula yang lebih baik daripada lawan jika mahu menang.

``Dalam kes Selangor, saya lihat mereka mempunyai barisan pemain yang berupaya menuruti strategi yang saya inginkan dan ini akan menjadi senjata kami.''

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1996, Selangor muncul juara selepas mengecewakan Sabah menerusi sepakan penalti 5-4, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh permainan.

Tegas Worden lagi, jika beliau diminta memberikan alasan terbaik mengapa Selangor boleh memenangi perlawanan kali ini, alasannya sudah tentu aksi menyerang dan agresif Selangor bakal mengejutkan lawan.

Menurut Worden lagi, dengan kepulangan penyerang berbisa, Mass Sarr Jr jentera serangan Red Giants akan lebih berkesan, manakala kehadiran semula pertahanan, Lim Chan Yew mengukuhkan benteng mereka.

Perancang utama, Tengku Hazman Raja Hassan yang sebelum ini mengalami kecederaan buku lali sudah menunjukkan pemulihan yang baik dan jika dia bersedia untuk diturunkan Sabtu ini ia bakal memantapkan lagi barisan Selangor.

Sementara itu Worden yang telah berada di Malaysia sejak 12 tahun lalu dan pernah membimbing skuad kebangsaan sebelum ke Selangor, liga Singapura dan Sabah, Piala Malaysia kali ini memberi pengertian yang simbolik,

Katanya, beliau mungkin satu-satunya jurulatih yang pernah merasai aksi akhir Piala Malaysia di tiga gelanggang berbeza.

``Saya pernah merasai perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Stadium Shah Alam dan kini Stadium Nasional. Mungkin saya telah mencipta sejarah tersendiri.''

Selangor melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Kedah menerusi agregat 4-2 dalam separuh akhir. Terdahulu, pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen awal Piala Malaysia.

Sabah pula mengejutkan naib juara, Perak menerusi agregat 4-3 dalam laluan ke akhir dan tewas dua perlawanan di peringkat kumpulan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOX4fFJl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan