ARKIB : 01/11/2000
PERSATUAN Bola Sepak Selangor
(FAS) semalam mengesahkan ketua jurulatih pasukan itu, K. Rajagopal tidak lagi
membimbing skuad Red Giants untuk Liga Malaysia musim 2001.
FAS semalam sudah memberi surat
kepada Rajagopal yang memaklumkan tentang kontraknya yang tidak lagi disambung.
Naib Presiden FAS, Datuk
Mokhtar Ahmad berkata, kontrak Rajagopal tidak disambung kerana persatuan itu
mahu mencari perubahan baru bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan.
''Kita sudah maklumkan
kepadanya hari ini (semalam). Keputusan itu diambil daripada mesyuarat yang
diadakan malam tadi,'' kata Mokhtar.
Bagaimanapun Mokhtar berkata,
FAS bersedia menimbangkan apa sahaja permintaan daripada jurulatih itu kerana
kontrak sebenarnya hanya akan tamat pada 31 Disember ini.
''Dia masih bersama FAS
sehingga Disember ini tetapi kita sudah maklumkan kepadanya bahawa kita mahukan
perubahan musim depan.
''Dia boleh berunding dengan
kita tentang perkara itu,'' tambah Mokhtar.
Mokhtar tidak menyatakan siapa
yang akan menggantikan tempat Rajagopal musim depan.
''Itu kita akan tentukan
kemudian,'' tambahnya yang juga pengurus pasukan Selangor.
Begitu pun nama jurulatih
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dikatakan berada pada kedudukan teratas
senarai pengganti Rajagopal untuk melatih Selangor musim depan.
Kontrak Rahman dengan Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) tamat 31 Disember ini tetapi dia belum menerima
sebarang tawaran sama ada kontraknya disambung atau tidak.
Difahamkan kedudukan Rahman
akan diketahui sekembalinya daripada Kejohanan Piala Tiger di Thailand, bulan
depan.
Menurut satu sumber lain,
Rajagopal tidak lagi dipilih kerana dia dikatakan gagal memenuhi sasaran utama
FAS musim ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4b5udVSjr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan