ARKIB : 27/09/2000
SELANGOR mara ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia penuh bergaya
mengatasi Johor FC dengan agregat 7-1 selepas seri 1-1 dalam perlawanan suku
akhir kedua di Stadium Pasir Gudang, semalam, lapor BAZLI ABDUL RAHMAN.
Juara Liga Perdana Satu, Selangor memperoleh gol penyamaan menerusi M.
Chandran (79) selepas Mustaza Maah Mustafa meletakkan Johor FC di depan pada
minit ke-63.
Jaringan berpunca daripada rembatan kencang Chandran hasil bola muntah
tangkapan penjaga gol Johor FC, Amirullah Abdul Ghani.
Penjaga gol tuan rumah gagal mendakap kemas bola sepakan ketua pasukan
Selangor, K. Sanbagamaran, membolehkan Chandran yang sedia menunggu peluang,
mudah meletakkan bola ke dalam gol lawan.
Gol tunggal tuan rumah pula diperoleh hasil sepakan kencang Mustafa selepas
menerima hantaran Hiry Azly Mahamad.
Sebelum itu, jaringan Johor FC pada minit ke-44 menerusi Harun Laban
dibatalkan oleh pengadil, Mat Lazim Awang Hamat kerana bola terlebih dahulu
terkena tangan pemain itu.
Selangor turun tanpa tekanan kerana pasukan tuan rumah perlu mengalahkannya
dengan kelebihan tujuh gol dalam perlawanan itu untuk Johor FC menempah tiket
ke separuh akhir.
Johor FC, tumpas 0-6 di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, turun dalam
perlawanan 'misi mustahil', ternyata gagal membenamkan lawan menerusi perbezaan
jaringan yang terlalu besar.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b1e9bluM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan