Sabtu, 11 Mac 2017

Anugerah sebagai motivasi - Rajagopal


 

ARKIB : 28/09/2000
Anugerah sebagai motivasi - Rajagopal
RAJAGOPAL (kanan) menerima piala daripada Naib Presiden dan Pengurus Motorola Malaysia, Datuk Ramli Abbas selepas dipilih sebagai jurulatih Terbaik untuk bulan Ogos yang diberikan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur, semalam.

KETUA jurulatih Selangor, K. Rajagopal menganggap anugerah Jurulatih Terbaik untuk bulan Ogos yang diberikan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) sebagai motivasi bagi dirinya untuk meningkatkan tahap kejurulatihan di masa yang akan datang.

DALLIA DUNSTAN melaporkan, Rajagopal, 44, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, ia adalah anugerah pertama yang diterimanya daripada AFC sejak memulakan karier sebagai jurulatih pada 1987.

''Saya terkejut dengan anugerah ini tetapi merasakan berhak untuk menerimanya atas kejayaan membimbing Selangor menjuarai liga Perdana Satu Malaysia pada musim ini,'' katanya jurulatih itu.

Rajagopal menerima lesen kelas 'A' ketika mengikuti kursus kejurulatihan di Jerman 1998.

Bekas pemain kebangsaan itu mula bergiat dalam bidang kejurulatihan sejak 1987 dan kelab yang pertama yang dibimbingnya ialah Kelab KulitKraf.

Selepas itu, beliau menjadi jurulatih Selangor bagi Piala Presiden pada 1990 sehingga 1991 sebelum dilantik menjadi penolong jurulatih Selangor di bawah Ken Worden dari 1993 sehingga 1995.

Pada tahun berikutnya sehingga 1998, dia sekali lagi dilantik menjadi ketua jurulatih Piala Presiden untuk Selangor sebelum dipilih menjadi jurulatih Selangor.

Kejayaannya itu diumumkan oleh AFC awal bulan ini dan penyampaian anugerah itu hanya dilakukan semalam oleh Naib Presiden dan Pengurus Motorola Malaysia, Datuk Ramli Abbas di Kuala Lumpur.

''Impian saya adalah untuk membawa Selangor sebagai pasukan bola sepak yang terbaik di negara ini dan mungkin di rantau Asia,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b1vbD4Jq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan