ARKIB : 28/10/2002
JURULATIH Selangor, Ken Worden
(dua dari kiri) bersama pemainnya bergembira dengan kejayaan melangkah ke
perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia selepas seri 1-1 dengan Kedah dalam
aksi separuh akhir di Stadium Darulaman, Alor Setar, kelmarin untuk layak
dengan agregat 4-2. - Gambar ISMAIL KAMADIN.
TIDAK ada sebarang janji istimewa
untuk semua pemain bola sepak Selangor walaupun mereka berjaya menjulang Piala
Malaysia pada perlawanan akhir nanti.
Sebaliknya, para pemain berkenaan
diingatkan bahawa kejayaan membawa pulang piala berprestij itu adalah menjadi
tanggung jawab mereka untuk memenuhi impian rakyat dan penyokong Selangor.
Ini kerana, rakyat Selangor sudah
sekian lama kemaruk untuk menjulang piala berkenaan setelah beberapa kali
dihampakan.
Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, tiada sebarang ganjaran yang akan
dijanjikan oleh kerajaan negeri setelah pasukan Selangor berjaya memasuki
perlawanan akhir Piala Malaysia.
``Apa yang kita mahu ialah setiap
pemain Selangor bermain bersungguh-sungguh membuktikan kesetiaan mereka.
``Kita tidak mahu para pemain
memikirkan ganjaran tetapi sebagai pemain, mereka bertanggung jawab memenuhi
impian penyokong dan rakyat Selangor untuk membawa pulang Piala Malaysia,''
katanya kepada pemberita di Dewan Dato' Hormat, Tanjong Karang, semalam.
Berikutan itu, walaupun Selangor
berjaya menyisihkan Kedah pada perlawanan separuh akhir, pasukan Red Giants itu
diingatkan bahawa jangan terlalu gembira dengan kemenangan tersebut.
Sebaliknya, kemenangan itu
sebagai peringkat permulaan apabila Selangor akan bertemu Sabah di perlawanan
akhir nanti.
Dr. Mohamad Khir menganggap Sabah
sebagai sebuah pasukan yang sudah bersedia dari segi mental dan fizikal,
malahan mereka juga pasukan yang sudah lama mengidam untuk menjulang piala
keramat itu.
Mengulas kekuatan utama Selangor
dalam memastikan Piala Malaysia menjadi milik mereka, Dr. Mohamad Khir berkata,
tiada rahsia lain melainkan bermain secara berpasukan.
``Setiap pemain juga perlu
mempunyai semangat cintakan negeri dengan hasrat untuk berjasa kepada Negeri
Selangor.
``Dengan semangat juang dan
bermain secara berpasukan, kita yakin Piala Malaysia akan berhijrah ke Selangor
pada kali ini,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOGgPbkd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan