UKAH
myMetro
Shah Alam: ‘Kereta kebal’ di
bahagian pertahanan Selangor Ugo Ukah sudah bersedia untuk menghalang jentera
serangan Kedah yang bakal ditunjangi gandingan import tiga serangkai pada aksi
final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Trio awang import Helang Merah
- Liridon Krasniqi, Thiago Augusto dan Shane Smeltz - pastinya berdepan
halangan cukup sukar untuk melepasi Ukah yang memiliki pengalaman luas beraksi
dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama Queens Park Rangers sebelum ini.
Jelasnya, dia dan rakan
sepasukan lain sudah bersedia sepenuhnya untuk mengekang kelibat ketiga-tiga
tonggak import itu nanti.
“Mereka memang memiliki
penyerang hebat tapi harus diingat kami juga mempunyai barisan pertahanan
kental. Contoh paling jelas apabila kami tidak bolos ketika menentang T-Team
pada separuh akhir kedua.
“Kami juga menumpukan latihan
dalam membentuk pertahanan mantap, selain saya sendiri akan menggunakan
pengalaman yang ada.
“Jangan harap mereka dapat gol
mudah dan saya sendiri bersedia untuk menghampakan jentera serangan mereka,”
katanya yang pernah memenangi piala ketika beraksi dalam Liga Serbia sebelum
ini.
Katanya, skuad kendalian Tan
Cheng Hoe sebaliknya perlu berwaspada dengan ancaman barisan depan Red Giants
yang akan diketuai tonggak import tinggi lampai dari Liberia, Patrick
Ronaldinho, Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri.
“Saya pasti aksi kali ini akan
jadi menarik dengan kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang. Tapi
Selangor mempunyai sedikit kelebihan kerana beraksi di Stadium Shah Alam.
“Jika ada peluang, saya sendiri
akan cuba menjaringkan gol seperti mana dalam aksi sebelum ini,” katanya yang
sudah mempunyai koleksi empat gol dengan tiga daripadanya disumbangkan dalam
kempen Piala Malaysia.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 10:04 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan