PEMAIN Kedah, Thiago Agusto
(tengah) berjaya melepasi kawalan pemain PDRM pada aksi separuh akhir kedua
Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi. Kedua-dua pasukan seri
0-0.
BAGAIKAN aksi ulangan. Demikian
gambaran perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini setelah juara bertahan,
Selangor sekali lagi bakal membuat perhitungan dengan Kedah dalam aksi yang
dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam hujung bulan ini.
Sebagai rekod, ini merupakan
pertemuan ketiga melibatkan skuad Gergasi Merah dan Helang Merah selepas final
edisi 2008 yang memihak Kedah 3-2 dan perlawanan akhir musim lepas yang mana
Selangor menang dengan keputusan 2-0.
Pada pentas separuh akhir malam
tadi, skuad Merah Kuning tidak berdepan masalah untuk meranapkan impian pasukan
berstatus kelab, T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu dengan keputusan 3-0.
Pasukan kendalian K. Gunalan
itu berjaya mendapatkan dua gol awal menerusi pemain sayap, R. Gopinathan pada
minit kedua sebelum tonggak pertahanan import, Ugo Ukah melebarkan kelebihan
Selangor pada minit ke-19.
Kapten pasukan, Andik
Vermansyah menambah derita pasukan tuan rumah menjadikan kedudukan 3-0 pada
minit-minit akhir perlawanan menjadikan kedudukan agregat 5-1 kekal sehingga
tamat perlawanan.
Kejayaan melangkah ke
perlawanan akhir merupakan bonus terbaik buat pasukan Gergasi Merah setelah
mengharungi musim suram tahun ini apabila tersingkir awal dalam saingan Piala
FA, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan gagal memberi saingan dalam
pentas Liga Super.
Susulan kegagalan tersebut,
pengendali asal musim ini, Zainal Abidin Hassan dipecat Ogos lepas dan
posisinya diambil alih oleh Gunalan yang dilihat kembali berjaya meniupkan api
semangat pada barisan pemain Selangor.
Sementara itu, di Stadium Hang
Jebat, Melaka, Kedah berjaya mengekalkan kelebihan selepas sekadar seri tanpa
jaringan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus menjadikan kemenangan
2-1 pada separuh akhir pertama bulan lalu sudah cukup untuk membawa Helang
Merah mara ke final buat tahun kedua berturut-turut.
Pada pentas akhir musim lepas,
dua jaringan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri berjaya menamatkan badi
Misi 33 Selangor yang ketika itu dibimbing oleh pengendali import, Mehmet
Durakovic untuk meranapkan impian Kedah di Stadium Shah Alam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4NCzVciuV
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan