PASUKAN Kedah pasti akan
bangkit balas dendam ke atas Selangor selepas kecewa pada final musim lalu.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain
kebangsaan Lim Chan Yew percaya pertembungan sekali lagi Kedah dan Selangor di
pentas final Piala Malaysia 30 Oktober ini tetap menjanjikan aksi menarik
kerana kedua-dua pasukan bakal menurunkan pemain berbeza.
Dalam tempoh dua tahun
berturut-turut kedua-dua pasukan itu kembali berentap merebut kejuaraan edisi
ke-90 di Stadium Shah Alam iaitu gelanggang yang menyaksikan Selangor
dinobatkan kejuaraan ke-34 tahun lalu.
Biarpun pasukan yang sama, Chan
Yew menganggap pertemuan Kedah yang menjadi tuan rumah kepada Selangor kali ini
tetap mempunyai tarikan tersendiri.
“Pada saya final akan tetap
menarik kerana walaupun dua pasukan yang sama, pemain yang ada dalam pasukan
itu sedikit berbeza.
“Kalau kita lihat Kedah kali
ini mempunyai dua penyerang import baru Shane Smeltz dan Thiago Augusto
Fernandes, sama seperti Selangor yang menggantikan Guilherme De Paula dengan
Patrick Ronaldinho.
“Ada beberapa lagi pemain di
posisi lain juga turut berubah dalam kedua-dua pasukan jadi sudah pasti ia
sesuatu yang ingin disaksikan penyokong,” katanya kepada Arena Metro.
Ia pertemuan ketiga dalam
sejarah antara Kedah dan Selangor dengan rekod kedua-dua pasukan seri 1-1
apabila Kedah menang 3-2 di final pada 2008 manakala Selangor membalas dendam
tahun lalu menerusi kemenangan 2-0.
Chan Yew yang pernah menjulang
trofi Piala Malaysia bersama Selangor pada 2002 menganggap bekas pasukannya itu
dilihat mempunyai kelebihan berbanding Kedah.
“Sebenarnya aksi final sukar
untuk dijangka. Tahun lalu atas kertas Kedah dianggap pasukan pilihan namun
mereka gagal mempamerkan permainan sebenar di final.
“Kalau kita lihat pada saingan
separuh akhir nampak permainan Selangor lebih meyakinkan manakala Kedah nampak
bergelut untuk mengatasi PDRM.
“Namun aksi final adalah
penentu segalanya, walaupun bermain di laman sendiri bukan jaminan untuk
Selangor kerana Kedah tidak ada masalah untuk membawa lebih 30,000 penyokong ke
Shah Alam,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:59 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan