Sabtu, 1 Oktober 2016

Aksi Selangor, T-Team pasti sengit

DARMAWAN tetap menghormati reputasi Selangor.
PERTEMBUNGAN antara Selangor dengan T-Team pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam malam ini pastinya berlangsung sengit.

Atas kertas, Selangor dilihat mudah untuk memenangi perlawanan ini jika mengambil kira rekod pertemuan mereka sejak musim 2014 yang menyaksikan T-Team gagal meraih sebarang kemenangan, sama ada perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Alam mahupun di Kuala Terengganu.

Sejak pertemuan antara ke­dua-dua pasukan pada musim 2012, T-Team pernah mengalami kekalahan paling teruk apabila tewas 0-5 kepada Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.

Namun situasi tersebut sudah berubah sekarang kerana T-Team bukan lagi pasukan belasahan seperti mana yang berlaku di awal kemunculan kelab dari Terengganu itu beberapa tahun lalu.

T-Team yang kini dikendalikan jurulatih dari Indonesia, Rahmad Darmawan, berada dalam kelompok tujuh pasukan teratas Liga Super dengan meraih 21 mata selepas mengharungi 21 perlawanan manakala Selangor menghuni tangga kelima liga dengan 28 mata.

Berdasarkan ke­dudukan tersebut, boleh dikatakan kekuatan kedua-dua pasukan tidak jauh bezanya dan atas faktor tersebut, Selangor tidak akan berdepan laluan mudah pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2016 di Shah Alam malam ini.

Kelebihan mungkin memihak kepada Selangor atas faktor beraksi di gelanggang sendiri, tetapi ia bukan jaminan buat mereka untuk meraih kemenangan selesa kerana T-Team kini dilabel sebagai pasukan yang tampil dengan pelbagai kejutan.

Kejayaan mereka menewaskan kelab gergasi, Felda United pada aksi suku akhir dua ming­gu lalu, sudah cukup untuk membuktikan betapa serius­nya kelab dari Terengganu itu untuk mencipta sejarah pada saingan Liga Malaysia musim ini.

“Kelebihan kami adalah bermain sebagai satu pasukan walaupun tidak memiliki pemain bertaraf lima bintang. Kami bekerja keras untuk meraih kejayaan dan ia adalah formula kami mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.

“Saya juga berharap agar berlaku kejutan pada aksi menentang Selangor di Shah Alam nanti dan kalau boleh, mengharapkan kemenangan sebagai bekalan mengharungi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu nanti,” jelas Darmawan.

Menurutnya, mereka perlu tampil konsisten dan mengekalkan rentak cemerlang dalam misi merealisasikan impian meriah kemenangan.

“Pada masa yang sama, jentera pertahanan kami tidak boleh leka dan mereka harus sentiasa fokus untuk menghalang pergerakan pasukan lawan. Apa pun kami tetap menghormati Selangor kerana mereka mempunyai rekod cemerlang pada kempen Piala Malaysia selain tampil selaku juara bertahan,” katanya lagi.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak musim 2014 me­nyaksikan Selangor lebih ba­nyak meraih kemenangan.

Pada kempen Piala Malaysia edisi 2014 dan 2015, T-Team tewas dalam tiga pertemuan manakala pada kempen Liga Super untuk musim 2014 dan 2016, menyaksikan kekuatan mereka agak seimbang.

T-Team pernah menewaskan Selangor 1-0 pada saingan liga musim ini sebelum tewas 1-2 kepada Selangor di Shah Alam pada aksi pusingan pertama.

Pada musim 2014 pula, mereka terikat seri 1-1 di Kuala Terengganu sebelum Selangor menang 2-0 pada aksi di Shah Alam.

Berdasarkan rekod tersebut, serta kebangkitan mendadak T-Team musim ini, peluang buat kedua-dua pasukan di Shah Alam malam ini adalah seimbang.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4Lp6R3UpnHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan