ROZAIDI ZULKIFI | 18
Oktober 2016 12:25 AM
S. Veenod (kiri) dijangka
memainkan peranan penting buat Selangor apabila menentang Kedah dalam
perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hujung bulan ini.
KUALA LUMPUR 17 Okt. – Selepas
sekadar masuk sebagai pemain gantian tahun lalu, pemain sayap kanan Selangor,
S. Veenod dijangka memainkan peranan lebih penting dengan berada dalam
kesebelasan utama apabila berdepan Kedah pada final Piala Malaysia kali ini.
Namun, di sebalik kegembiraan
itu, jauh di sudut hati Veenod, dia sedikit terkilan kerana kecemerlangan yang
diraih tidak dapat dikongsi bersama adik bongsunya, S. Eswary yang meninggal
dunia akibat kemalangan langgar lari di Pulau Pinang, Februari lalu.
Malah, perlawanan akhir itu
juga akan berlangsung pada 30 Oktober, iaitu sehari selepas dia menyambut
perayaan Deepavali.
“Dulu saya hanya pemain biasa
dan ramai tidak kenal tetapi kini saya lebih dikenali dan berpeluang menyarung
jersi skuad kebangsaan.
“Sudah tentu aya gembira dapat
membantu Selangor ke final Piala Malaysia, tetapi saya sedikit terkilan dan
sedih kerana kejayaan ini tidak dapat dikongsi bersama adik.
“Mendiang adik selalu menjadi
pengkritik saya sebelum dan selepas perlawanan. Sekarang dia sudah
tiada...kehilangan itu menyebabkan saya sedih kerana tiada lagi dapat mendengar
nasihatnya.
“Sambutan Deepavali juga akan
dibuat secara sederhana tahun ini, jadi final tidak mengganggu persiapan
perayaan. Lagi pun ini tugas saya sebagai seorang pemain,” katanya kepada
Utusan Malaysia.
Red Giants menghampiri
kejuaraan Piala Malaysia ke-34 dan mara ke pentas akhir buat kali kedua
berturut-turut meskipun berdepan krisis dalaman dan kemerosotan prestasi
sehingga menyebabkan pengendalinya, Zainal Abidin Hassan dipecat Ogos lalu.
Veenod, 28, juga turut menanam
impian untuk menjaringkan gol dalam perlawanan akhir, sekali gus membantu skuad
Selangor menjuarai Piala Malaysia.
“Saya mahu menjaringkan gol dan
membantu Selangor menang.
“Jika menang saya mahu
hadiahkan kejuaraan kepada adik saya kerana dia mahu sangat melihat saya menjaringkan
gol dan berjaya dalam bola sepak,” katanya lagi.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
18 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan