HAZWAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami tidak boleh
mengambil risiko dengan mengamalkan corak permainan terbuka.” Itu firasat ayam
tambatan Selangor Ahmad Hazwan Bakri yang menyifatkan pertemuan separuh akhir
kedua saingan Piala Malaysia bertemu T-Team di Kuala Terengganu pastinya cukup
getir biarpun pasukannya memiliki bekalan satu gol di dalam tangan.
Jelasnya, kemenangan 2-1 pada
aksi pertama di Stadium Shah Alam tempoh hari belum cukup untuk menjamin tempat
ke pentas final kerana baginya skuad kendalian Rahmad Darmawan pasti akan
bangkit memadam kelebihan itu.
“Kami perlu kekal fokus seperti
bermain di Stadium Shah Alam dan perlu lebih berhati-hati kerana apa saja boleh
terjadi dalam 90 minit perlawanan berlangsung.
“Kami juga tahu kami tidak
boleh terlalu bermain corak permainan terbuka. T-Team pastinya sudah bersedia
dan tidak mudah menentang mereka yang beraksi di laman sendiri.
“Apapun, percaturan taktikal
terletak di tangan jurulatih dan kami perlu bersedia dengan segala
kemungkinan,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan antarabangsa di
antara pasukan Malaysia berdepan Afghanistan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Hazwan yang juga penyerang
utama skuad Harimau Malaysia, berazam membantu Red Giants melangkah ke pentas
final buat kali kedua berturut-turut sekali gus cuba mengulangi pencapaian
musim lalu apabila menjuarai trofi yang menjadi rebutan itu.
Katanya, pengalaman beraksi di
peringkat antarabangsa akan dimanfaatkan sebaik mungkin ketika menentang T-Team
nanti.
“Berlatih bersama rakan
sepasukan yang hadir dari pelbagai negeri di latihan pusat sememangnya sedikit
sebanyak membantu saya meningkatkan ketajaman dan penyudah ketika mendapat
peluang di depan gol,” katanya.
“Jadi, saya sudah bersedia
sepenuhnya untuk beraksi pada separuh akhir kedua nanti dan jika diturunkan,
saya akan memberi yang terbaik untuk membantu Selangor memenangi aksi hidup
mati ini,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:08 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan