Ahad, 19 Mac 2017

Sivaram kembali ke Selangor

ARKIB : 02/01/2002
Oleh A. Jailani Abdullah
BEKAS pemain kebangsaan, S. Sivaram pulang ke lubuk untuk menjadi anggota terbaru skuad Red Giants untuk kempen bola sepak Perdana Satu musim depan.

Pemain tengah itu, yang telah membantu Kelantan menduduki tangga ketiga Perdana Satu di belakang Pulau Pinang dan Terengganu tahun ini, menandatangani kontrak dengan Selangor Jumaat lepas.

``Kontrak dengan Sivaram telah ditandatangani Jumaat lepas. Seperti mana pemain lain, FAS mengikat kontrak selama setahun dengannya'' kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin di Shah Alam, semalam.

Selangor ialah pasukan pertama memperkenalkan Sivaram ke dalam kancah Liga Malaysia sebelum pemain itu mengikut bekas jurulatih Merah Kuning, K. Rajagopal ke Kelantan.

Dengan kehadiran semula Sivaram bermakna Selangor telah memiliki 19 pemain tempatan - mempunyai baki satu kekosongan untuk pemain import bagi menggenapkan maksimum 20 pemain yang disyaratkan untuk musim baru yang akan bermula 26 Januari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pasukan-pasukan mengambil dua pemain import.

Selangor dijadualkan ke Australia Jumaat ini untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan di sana yang akan menjadi tapak terakhir untuk mencari pemain import selain menguji kekuatan dan kelemahan pasukan.

Perlawanan pertama menentang Perth Soccer Club pada Ahad dan Perth Glory FC yang dibimbing oleh bekas jurulatih Sarawak, Alan Vest dua hari selepas itu.

``Pemain import Selangor mungkin dipilih daripada salah satu kelab tersebut.

``Alan telah mengaturkan untuk kita menguji beberapa pemainnya ketika di sana. Jika kita berkenan dengan mutu permainan dan kena harganya, Selangor mungkin mengambil seorang atau dua pemain daripada ujian itu,'' kata Hamidin.

Beliau tidak menolak kemungkinan FAS akan mengambil dua pemain import, dan jika itu berlaku bermakna salah seorang pemain yang ada sekarang akan digugurkan.

``Masih banyak kemungkinan dalam pertimbangan kita, termasuk menggugurkan seorang pemain jika kita dapat dua pemain import di Australia.

``Tetapi jika kita gagal menemui pemain yang memuaskan hati dalam lawatan ke Australia, tidak mustahil kita akan menggunakan khidmat 20 pemain tempatan,'' jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bqAwjQcr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan