Rabu, 22 Mac 2017

Selangor mulakan jejak pertahan gelaran

ARKIB : 09/04/2002
JUARA Piala FA, Selangor akan memulakan langkah mempertahankan gelarannya dengan menentang Sabah malam ini ketika prestasinya dipersoalkan oleh penyokong sendiri.

Sabah ialah halangan pertama Selangor dalam pertandingan kalah mati ini setelah Red Giants mendapat bye pada pusingan pertama kerana martabatnya selaku penyandang juara.

Dan melihat kepada rekod Selangor akhir-akhir ini dalam saingan liga Perdana Satu, catatannya tidak begitu memberangsangkan.

Anak buah Abdul Rahman Ibrahim hanya mengutip sembilan daripada lima perlawanan. Mereka hanya seri pada dua perlawanan terakhir termasuk dengan Sabah.

Tetapi, Selangor masih beruntung kerana langkahnya dalam Piala FA akan bermula di hadapan penyokong sendiri di Shah Alam.

Selangor masih mempertahankan kekebalannya di Stadium Shah Alam apabila daripada lapan perlawanan dalam saingan pusingan pertama Perdana Satu di tempat sendiri ia hanya kalah sekali iaitu 2-0 kepada Perak.

Sementara itu, tumpuan juga harus diberikan kepada empat pasukan kelab Johor FC, Public Bank, Telekom Melaka dan PKNS Selangor yang masih memberikan saingan.

Bagaimanapun, hanya tiga daripadanya yang berupaya untuk melangkah ke pusingan suku akhir kerana Johor FC akan menentang Public Bank Selangor pada pusingan kedua ini.

PKNS Selangor pula akan bertemu pendahulu Perdana Dua, Kedah manakala Telekom Melaka akan bertemu Sarawak.

Pendahulu Perdana Satu, Perak pula akan melawat Kuala Lumpur, pasukan yang menghadiahkan kekalahan kedua kepada mereka dalam saingan liga.

Perak, yang menyingkirkan saingan Perlis pada saingan pusingan pertama Piala FA pasti masih tidak dapat melupakan bagaimana mereka diaibkan oleh Kuala Lumpur di Cheras apabila tumpas 2-0 pada saingan liga, Mac lepas.

Juara Perdana Satu tahun lalu, Pulau Pinang yang turut mendapat bye pada saingan pembukaan Piala FA turut berdepan bahaya sekalipun berdepan dengan Johor yang hanya menduduki tempat ketiga tercorot Perdana Dua.

Johor dilihat mampu mencabar setelah menunjukkan permainan mantap akhir-akhir ini dan mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Johor Bahru.

Naib juara Piala FA, Sarawak yang turut ke pusingan kedua secara automatik berdasarkan status naib juara tahun lepas akan menentang Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah.

Pasukan kelab itu, yang kini berada di tangga kedua Perdana Dua, pasti mahu menggunakan kesempatan terbaik ini untuk mengejutkan Sarawak yang ketika ini masih tercari-cari rentak kemenangan setelah hanya menang empat dan seri lima daripada 13 perlawanan dalam Perdana Satu.
Smber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c4Xs1dNK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan