Ahad, 19 Mac 2017

Persembahan pasukan tidak bersemangat - Sultan Selangor murka

ARKIB : 12/01/2002
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KEMEROSOTAN prestasi yang dipamerkan pasukan bola sepak Selangor sejak beberapa tahun ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda ketika berangkat pada majlis makan malam bersama pegawai dan pemain Selangor kelmarin bertitah, baginda amat berdukacita dengan persembahan Selangor yang disifatkan sebagai langsung tidak bersemangat.

``Beta telah menceburi dan mengikuti perjalanan pasukan Selangor (sebagai pemain) dan persatuan sejak 1968 lagi iaitu selama 23 tahun,'' titah baginda.

``Selangor memiliki ramai pemain berwibawa pada 1960an, 70an dan 80an seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Ghani Minhat, M. Chandran, Santokh Singh, mendiang Arumugam dan Ridzuan Abdullah.

``Ketika itu, pemain-pemain ini mempunyai matlamat yang padu, iaitu kesetiaan kepada Selangor dan bendera negeri Selangor serta megah kerana memakai jersi Merah Kuning.''

Titah Baginda lagi, kebanyakan pemain Selangor yang ada sekarang tidak mempunyai kualiti seperti pemain-pemain lama.

Mereka menurutnya, tidak bermain dengan semangat dan komitmen serta tidak mempunyai kesetiaan kepada negeri.

``Mereka bermain seperti budak-budak sekolah dan tidak sebagai pemain profesional. Mereka hanya main dengan bersungguh jika dibayar dengan lumayan dan selalu meminta perkara-perkara kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menegaskan, pada masa ini baginda hanya akan berangkat menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor jika juara Piala Malaysia 28 kali itu menjanjikan komitmen.

``Berikan beta piala yang terunggul dalam arena bola sepak di Malaysia ini pada musim akan datang sebagai hadiah kepada Sultan Selangor.

``Kemenangan itu akan beta balas dengan sewajarnya dan beta percaya ke-rajaan negeri Selangor juga akan berbuat demikian.''

Selangor yang mensasarkan tiga piala untuk dimenangi musim lalu hanya merangkul Piala FA sebelum kandas pada suku akhir Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat liga.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqQdoRgd

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan