Isnin, 6 Mac 2017

Selangor terus bersaing dengan pendahulu liga

ARKIB : 26/07/2000
SELANGOR terpaksa bekerja keras sebelum memungut tiga mata penting dengan menewaskan Sarawak 3-2 pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Shah Alam semalam sekali gus merapatkan saingan untuk merebut gelaran juara liga musim ini.

Dengan baki satu perlawanan menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini, Selangor kini bersaing dengan pendahulu liga, Pulau Pinang yang mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Kuala Lumpur semalam.

Jaringan menerusi tendangan penalti oleh pemain pertahanan, B. Rajnikandh pada minit ke-23 memulakan penguasaan tuan rumah ke atas Sarawak, yang tercari-cari permainan terbaik untuk mengimbangi serangan lawan.

Sepakan penalti itu diperoleh selepas hantaran lintang Assrof hanafiah terkena tangan Roziman Rambli.

Belum sempat Sarawak mencari rentak, penyerang sensasi kebangsaan, Rusdi Suparman menambah derita pelawat dengan gol kedua pada minit ke-30 selepas menerima umpanan cantik Yusri Che Lah.

Rusdi sekali lagi menghampakan pertahanan pasukan pelawat apabila hantarannya tepat kepada pemain sayapnya, M. Chandran, yang menyumbat masuk gol ketiga dari dalam kotak penalti pada minit ke-35.

Kedua-dua pasukan membuat tiga pertukaran pada babak kedua tetapi Sarawak tampak lebih garang.

Selangor tertekan sepanjang 20 minit terakhir terutama apabila terpaksa mengeluarkan penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz pada minit ke-84, akibat kecederaan ketika cuba menghalang satu percubaan pasukan pelawat.

Tempat Azmin digantikan oleh Amirrul Zain Ismail.

Pemain gantian Sarawak, Abg Zafari Abg Othman akhirnya berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-85 hasil rembatan dari jarak jauh.

Belum sempat, Selangor menyusun semula gerakan, seorang lagi pemain gantian, Gilbert Cassidy menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-86 untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Sementara itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah kembali meyakinkan penyokong sendiri dengan mencipta kemenangan 3-1 ke atas Brunei.

Pertarungan menyaksikan pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai permainan dengan mengasak ke kubu lawan sejak awal minit babak pertama dan berjaya menghasilkan jaringan sulung menerusi tandukan Hairuddin Omar hasil umpanan Mohd. Armi Shariff pada minit ke-10.

Berbekalkan semangat selepas kecundang 0-2 kepada Kuala Lumpur minggu lalu, anak buah Yunus Alif ternyata tidak sanggup lagi mengulangi peristiwa hitam itu.

Ketangkasan barisan serangan diterajui bekas pemain skuad Olimpik, Hairuddin bergandingan Halim Jantan dan Sapian terus bingkas menggoncang kubu lawan.

Namun kelekaan berkala pasukan tuan rumah turut mengundang padah pada minit ke 54 babak kedua apabila Abang Norsilimy Taha sempat menguis masuk bola ke gawang Terengganu hasil umpanan dua pemain sepasukan, Muhd. Subhi Abdillah Bakir dan Riwandi Wahit.

Pasukan tuan rumah yang tidak sanggup diaibkan di gelanggang kembali menyengat dan setiba minit ke 61, Hairuddin sekali lagi tidak menseia-siakan peluang dengan melambung bola menewaskan penjaga gol Brunei, Alizanda Sitom.

Skuad pelawat terus dikekang dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya barisan Terengganu untuk menambah jaringan pada minit ke 86 menerusi tandukan Halim Jantan hasil tendangan sudut.

Kemenangan 3-1 itu sudah pasti membakar semangat juang skuad Penyu untuk menempuh perlawanan terakhir mereka menentang Sarawak di Kuching Sabtu ini
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4aYXukYXF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan