ARKIB : 23/10/2002
PEMAIN Selangor, Mass Sarr Jr.
(tengah) meraikan gol pertama jaringannya bersama Shukor Adan sambil pemain
Kedah, Fakhzan Salleh kecewa dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia
di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 3-1. - Gambar ABD. RAHMAN SALEH.
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PENYERANG import dari Nigeria,
Mass Sarr Jr., Azman Adnan dan Mohd. Amri Yahyah membawa Selangor menghampiri
perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia apabila masing-masing menjaringkan
satu gol ketika membantu Red Giants menewaskan Kedah 3-1 dalam aksi separuh
akhir pertama di Stadium Shah Alam, semalam.
Di hadapan kira-kira 25,000
penyokong Merah Kuning, Mass Sarr menghukum kesilapan pertahanan Kedah dengan
gol sulung pada minit ke-31.
Mass Sarr mencuri bola dari
kawalan A. Victor yang kemudian membuat larian solo sejauh kira-kira 30 meter
sebelum menggelecek Kofi Ampiah dan menewaskan Mazlan Wahid dengan sepakan kaki
kiri ke penjuru kanan gawang Selangor.
Jaringan itu membalas
kekecewaannya setelah Mazlan menepis percubaannya dari jarak dekat pada minit
ketujuh.
Ketika babak pertama kelihatan
akan berakhir dengan keputusan 1-0, Selangor sebaliknya mengambil peluang
terakhir pada masa kecederaan untuk mendahului 2-0.
Kali ini gol diperoleh menerusi
sepakan penalti Azman Adnan.
Namun, wira sebenar ialah Mass
Sarr yang mengawal baik bola hantaran jauh B. Rajnikandh sebelum pemain itu
dijatuhkan oleh Kofi Ampiah dalam kawasan gol.
Azman nyaris dikecewakan oleh
Mazlan yang menepis bola sepakan penaltinya sebelum bola menggolek ke sebelah
kanan pintu gol.
Kehangatan persaingan segera
dirasakan sebaik sahaja babak kedua bermula apabila Kedah membalas jaringan
menerusi sepakan penalti Matar Diop.
Pemain Senegal itu yang sebelum
itu dijatuhkan oleh Rajnikandh menyepak masuk ke penjuru kanan manakala Azmin
menerpa ke sebelah kiri pada minit ke-51.
Azman nyaris menghukum lagi
kesilapan pertahanan Kedah tetapi sepakannya kali ini melambung tinggi selepas
dia menewaskan dua pertahanan lawan pada minit ke-58.
Kedah cuba menukar strategi pada
babak kedua dengan memasukkan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli
menggantikan Rafdi Rashid manakala Amirul Nizam Mahadzir menggantikan Zainuddin
Mohd. Ariffin.
Kemasukan kedua-dua pemain nampak
membawa sedikit perubahan yang menyaksikan pertahanan Selangor tertekan hebat
tetapi Kedah gagal menyempurnakan beberapa gerakan.
Ketika Kedah mengasak hebat untuk
mencari gol penyamaan, mereka sebaliknya dihukum lagi pada minit ke-90 akibat
kesilapan pertahanan.
Mass Sarr Jr. menanduk bola
hantaran jauh yang tepat kepada Mohd. Amri yang kemudian merembat kencang ke
dalam gawang menewaskan Mazlan buat kali ketiga.
SELANGOR:
Azmin Azram Aziz, Mohd. Nizam
Jamil, B. Rajnikandh, Yusri Che Lah, Lim Chan Yew (Shamsul Amri Abu Bakar),
Mohd. Shukor Adan (Tengku Hazman Raja Hassan), S. Sivaram, Mohd. Aiman Wong,
Mohd. Amri Yahyah, Azman Adnan, Mass Sarr Jr.
KEDAH:
Mazlan Wahid, A. Victor, Irwan
Fadzli Idrus, Mansoor Azwira Wahid, Emmanuel Kofi Ampiah, Mohd. Rizal Harun,
Zainuddin Mohd. Ariffin (Amirul Nizam Mahadzir), Matar Diop, Mohd. Fauzi Nan,
Shariman Che Omar, Mohd. Rafdi Rashid (Akmal Rafdi Rashid).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cNyYFd1l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan