Sabtu, 25 Mac 2017

Selangor, Perak jadi pilihan



ARKIB : 26/10/2002
Para pemain Perak gigih menjalani latihan di Stadium Perak, menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah malam ini.- Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

PEREBUTAN dua slot perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia selalunya sukar diduga walaupun beberapa pasukan memiliki kelebihan dan peluang terbaik.

Juara 28 kali, Selangor yang berbekalkan kelebihan dua gol, menjadi calon pilihan, manakala Perak yang menjulang piala berprestij ini hanya empat kali, menanti Sabah di gelanggang sendiri, juga mempunyai sokongan.

Walaupun aksi separuh akhir pertama di Likas Selasa lalu berkesudahan seri 2-2, Perak memiliki bantuan penyokong sendiri di Ipoh apabila kedua-dua pasukan bertemu untuk separuh akhir kedua, malam ini.

Kedah, kali terakhir memahat nama di trofi kebanggaan itu pada 1993, bagaimanapun memiliki kemampuan besar untuk menyekat impian Selangor.

Biarpun barisan pemain masih mentah di arena ini, skuad Jorgen E. Larsen memiliki kesungguhan lebih tinggi apabila berada di padang.

Ken Worden yang kembali membimbing Merah Kuning selepas 1996, beruntung kerana memiliki barisan pemain berpengalaman, ada di antara mereka masih bersama skuad Red Giants Worden melakar nama sebagai juara buat kali ke-27 sebelum berpisah dengan Selangor.

Barisan Selangor kini nyata berpengalaman di pentas ini dan lebih berpengalaman apabila melangkah ke peringkat lebih penting.

Biarpun kehilangan beberapa pemain tonggak termasuk penjaring terbanyaknya, Mass Sarr Jr., Selangor masih memiliki pemain sama handal.

Kini, terletak kepada pemain sendiri sesudah percaturan jurulatih dituruti.

Sabah tidak pernah memahat nama pada trofi Piala Malaysia. Mereka hampir berjaya pada 1996 tetapi dikecewakan oleh Selangor di Shah Alam.

Ini merupakan percubaan terbaru mereka tetapi lawan yang ditentang pula adalah barisan berpengalaman Perak.

Sudah tentu barisan baru bimbingan Justin Ganai ini perlu lebih bersungguh-sungguh untuk menafikan Perak yang memburu gelaran kelima dalam kempen ini.

Kesilapan di Likas ketika mendahului 2-0, sudah tentu memahat kekecewaan pada barisan pemain skuad Badak, apalagi penyokong sendiri yang begitu mahu melihat barisan pujaan mereka beraksi di pentas akhir buat kali kedua.

Apa pun, persaingan ke akhir selalunya menyajikan cerita dan aksi menarik, jika tidak pun sekurang-kurangnya, peminat bola sepak tempatan masih berbangga dengan status Piala Malaysia yang tidak hilang serinya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOAKtta4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan