Sabtu, 25 Mac 2017

Kemenangan hadiah khas kepada Sultan Selangor



ARKIB : 30/10/2002
 
SULTAN Sharafuddin beramah-mesra dengan pemain Selangor ketika berangkat menyaksikan latihan pasukan Red Giants menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Padang PKNS, Kelana Jaya semalam. -Gambar SHAMSUL ARIFFIN CHE OMAR.

SELANGOR berazam merangkul Piala Malaysia untuk dihadiahkan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Selangor, Mac depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Ahmad Shah berkata, Piala Malaysia dilihat sebagai hadiah istimewa untuk dipersembahkan kepada Sultan pada tahun pertama baginda ditabalkan.

Katanya, baginda berjanji pemain Selangor akan memberikan aksi terbaik untuk memastikan hasrat membawa pulang gelaran pada perlawanan akhir menentang Sabah Sabtu ini mampu ditunaikan.

``Ia pasti sesuatu yang amat menggembirakan Sultan dapat memulakan tahun pertama pertabalannya dengan Piala Malaysia dalam koleksi,'' kata Tengku Ahmad selepas menyaksikan latihan pasukan Red Giants di Padang PKNS, Kelana Jaya semalam.

``Piala Malaysia juga merupakan hadiah paling manis buat pemain, peminat serta rakyat negeri ini selepas beberapa tahun menanti.''

Sementara itu Sultan Sharafuddin yang turut berangkat menyaksikan latihan pasukan Selangor semalam bertitah, keka-lahan kepada Sabah pada perlawanan akhir akan mengecewakan ribuan rakyat negeri itu.

Tegas baginda, pemain Selangor memikul tugas penting iaitu memastikan pengharapan rakyat tidak dikecewakan ketika peluang sudah terhidang.

``Tiada perkataan naib juara buat pemain Selangor,'' titah baginda. ``Bukan puluhan orang yang berharap kepada Selangor tetapi ribuan. Mereka harus bekerja-keras untuk tidak mengecewakan harapan itu.''

Menurut Sultan Sharafuddin lagi, kerajaan negeri tidak menjanjikan sebarang ganjaran kerana perbuatan menawarkan imbuhan merupakan budaya zaman kanak-kanak.

``Dulu bolehlah. Beta masa kanak-kanak pun, ayahanda beta menjanjikan sebuah basikal jika lulus periksa tetapi sekarang sebagai seorang yang dewasa ia tidak sesuai.''

Bagaimanapun Sultan Sharaffudin menegaskan, imbuhan tetap ada jika pemain Merah Kuning berjaya menjulang kejuaraan buat kali ke-29, namun baginda enggan menabur sebarang janji mengenainya.

Sementara itu jurulatih Selangor, Ken Worden memberi amaran kepada pemainnya agar tidak leka dengan status sebagai pasukan pilihan apabila menentang Sabah.

Tegas beliau, walaupun turun tanpa tiga tonggak utama - ketua pasukan, Jelius Ating, Sharin Majid dan K. Sanbagamaran, namun Sabah tetap sebuah pasukan yang mantap.

``Saya pernah membimbing Sabah dan saya tahu sejauh mana keupayaan mereka. Mereka mampu merangkul Piala Malaysia,'' katanya.

``Justin (Ganai, jurulatih) telah melaksanakan tugas dengan cemerlang sejak ketiadaan saya. Saya tahu mereka berupaya mencipta kejutan dalam perlawanan akhir jika Selangor tidak berhati-hati.''

Begitupun Worden yakin, Selangor adalah sebuah pasukan yang baik terutama generasi sekarang yang lebih agresif dibandingkan ketika beliau membawa pasukan itu muncul juara Piala Malaysia 1997 dengan menewaskan Sabah dalam perlawanan akhir.

``Generasi Selangor sekarang dan dulu jauh berbeza. Dulu ketika zaman Azman (Adnan), Sanba (Sanbagamaran) dan Shahril (Arshat) mereka gemar bangkit pada saat akhir dan bermula lembab.

``Tetapi kini dengan beberapa muka baru yang digandingkan dengan pemain lama, saya nampak permainan Selangor lebih bertenaga dengan serangan diatur sejak wisel permainan ditiupkan.''

Selangor menewaskan Kedah menerusi agregat 4-2 pada separuh akhir, sementara Sabah mengejutkan Perak 4-3 dalam satu lagi separuh akhir penuh dramatik.

Sementara itu, tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 yang akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini akan mula dijual esok.

Kaunter tiket berharga RM50, RM20 dan RM5 (untuk kanak-kanak) mula dibuka di Stadium Shah Alam pada jam 10 pagi esok dan Jumaat.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOQcxgIK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan