Selasa, 21 Mac 2017

Selangor ada peluang pintas Perak



ARKIB : 19/03/2002
SELEPAS tiga bulan kempen liga bola sepak Perdana Satu berlangsung, Selangor kini berdepan dengan detik terbaik untuk meletakkan dirinya di singgahsana.

Peluang itu terbuka seluas-luasnya buat juara Perdana Satu tahun 2000 itu yang ketika ini menghuni tangga kedua liga di belakang Perak.

Jadual perlawanan nampaknya menyebelahi Selangor, yang akan beraksi dalam tiga perlawanan di tempat sendiri secara berturut-turut.

Di atas kertas, jadual perlawanan dengan sendirinya menyediakan peluang terbaik buat skuad Red Giants itu untuk memintas Perak.

Bermula dengan perlawanan menentang Perlis malam ini, Selangor kemudiannya akan melayan kedatangan NS Chempaka dan kemudian Pahang di Stadium Shah Alam minggu depan.

Selangor dan Perak ketika ini menerajui Perdana satu dengan 18 mata. Perak hanya memiliki sedikit kelebihan berdasarkan jumlah jaringan gol.

Kemampuan Perak untuk mengekalkan cengkaman pada tangga teratas ketika ini dipertikaikan sendiri oleh peminatnya setelah skuad Seladang itu tumbang di Stadium KLFA, Cheras. Mereka tumpas 2-0 kepada pasukan ketiga tercorot, Kuala Lumpur dalam perlawanan perlawanan terakhirnya 9 Mac lepas.

Walaupun akan beraksi di gelanggang sendiri malam ini, Perak tentunya sedar benar akan kemampuan Kelantan, pasukan di tangga ketujuh dengan 12 mata, terutamanya apa yang boleh dilakukan oleh penyerang dari Thailand, Voravut Srimaka yang telah menyumbat tujuh gol.

Tambahan pula lima pemain tonggaknya pasti keletihan setelah menjalani latihan selama seminggu dengan skuad kebangsaan. Pemain-pemain itu ialah ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar, penyerang yang meraih perhatian ketika ini, Khalid Jamlus, pemain sayap, Indra Putra Mahayuddin, pemain pertahanan, Rushanizam Mohd. Idrus dan penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Sementara itu, pertemuan di antara Terengganu dengan NS Chempaka turut meraih tumpuan tersendiri. Skuad Penyu selepas muncul juara Piala Malaysia dan naib juara liga sehingga kini belum menunjukkan kehebatan yang dipersembahkan pada tahun lepas.

Terengganu ketika ini berada di tempat ke-10 dengan sembilan mata, hanya satu mata mengatasi NS Chempaka di tempat ke-11 yang akan menjadi tuan rumah pada perlawanan malam ini.

Juara liga 2001, Pulau Pinang pula akan berdepan dengan Kuala Lumpur yang berjaya mencipta kejutan terbesar setakat ini, seterusnya memberi amaran bahawa apa sahaja boleh berlaku di Stadium Negeri di Batu Kawan.

Johor FC, yang telah mengutip 14 mata untuk terikat dengan Pulau Pinang, Perlis dan Sabah pula akan melayan Pahang di Pasir Gudang, dalam perlawanan yang sepatutnya menjadi milik mereka.

Skuad Tok Gajah ketika ini masih mempersembahkan permainan kurang konsisten dan hanya menang dua dan seri empat kali untuk berada di tangga kesembilan, tiga kedudukan di bawah Johor FC.

Bekas pesaing Johor FC dalam Perdana Dua, Sabah pula akan melawat Melaka sementara Negeri Sembilan yang tumpas dengan jumlah gol memalukan kepada Pulau Pinang sebelum ini berharap untuk menebus maruahnya apabila bertemu dengan Sarawak di Paroi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bxxidS5C© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan