ARKIB : 20/01/2002
PARA pemain Selangor ceria
bersama Piala Sultan Ahmad Shah selepas memenangi perlawanan bola sepak
sumbangsih dengan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu semalam. - Gambar KASWADI YUSOFF.
Oleh MOHD. LAZIM ENDUT dan
JAMDI NASIR
SELANGOR membuka tirai Liga
Malaysia dengan bergaya apabila berjaya menundukkan Terengganu 2-1 dalam
perlawanan bola sepak sumbangsih untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Kemenangan ke atas juara Piala
Malaysia itu membuktikan janji jurulatih Selangor, Abdul Rahman Ibrahim untuk
kembali cemerlang pada musim ini.
Malah kejayaan cukup bermakna
yang berlangsung dalam suasana mendebarkan memberikan tiga mata penuh kepada
Selangor pada kempen pembukaan Liga Perdana Satu.
Dua jaringan bekas pemain
kebangsaan, Azman Adnan pada minit ke-53 dan 73 menafikan hasrat Penyu untuk
memastikan Piala Sumbangsih terus kekal di Terengganu.
Turut menyaksikan perlawanan
antara Juara Piala Malaysia dan Piala FA itu adalah naib presiden FAM, Datuk
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Terengganu mengatur asakan ke
pintu gol lawan sebaik wisel permulaan ditiupkan, tetapi pemainnya gagal
memanfaatkan beberapa percubaan.
Pada minit ketujuh pemain import
dari Ghana, Seidu Issifu membuat percubaan di luar kotak penalti Selangor,
namun sepakannya terkeluar di sebelah kanan pintu gol.
Wan Rohaimi Ismail mengancam
kubu Selangor tiga minit kemudian, tetapi rembatan kencangnya berjaya ditepis
penjaga gol pasukan pelawat, Azmin Azram Abdul Aziz.
Usaha gigih Terengganu untuk
memburu gol pembukaan berhasil pada minit ke-20 selepas Wan Rohaimi menanduk
masuk bola tendangan sudut Rosdi Talib.
Ketinggalan 0-1, Selangor cuba
melakukan serangan balas melalui gerakan Azman dan Jaafar Salleh, dan bertindak
garang sejurus babak kedua bermula dengan gandingan Azman dan Nizaruddin Yusof
mengancam kubu pertahanan lawan.
Peluang terbaik Selangor untuk
menyamakan kedudukan tiba pada minit ke-47, tetapi tandukan Nizaruddin tersasar
keluar.
Usaha keras Selangor akhirnya
berhasil pada minit ke-53 apabila Azman menyamakan kedudukan selepas menerima
hantaran Muhd. Sukor Adan.
Azman memastikan kemenangan 2-1
Selangor pada minit ke-73, kali ini dia menghukum kesilapan penjaga gol
Terengganu, Md. Samsuri yang gagal menangkap bola tinggi.
Sementara itu jurulatih
Terengganu, Mat Zan Mat Aris menyalahkan kealpaan pemainnya pada separuh masa
kedua sebagai punca kekalahan skuad Penyu.
Katanya lagi, ketiadaan ketua
pasukan skuad bawah-23 kebangsaan, Hairuddin Omar turut memberi kesan kepada
bahagian tengah Terengganu.
``Saya juga kurang berpuas hati
dengan persembahan Seidu Issifu malam ini. Dia jelas tidak cukup cergas untuk
beraksi,'' katanya.
Jurulatih Selangor, Abdul
Rahman Ibrahim menafikan kemenangan pasukannya adalah kerana Terengganu
melakukan kesilapan.
``Pemain kami memang bermain
baik terutama pada babak kedua. Gol kemenangan Azman bukan kerana penjaga gol
lawan membuat kesilapan, tetapi ia memang jaringan yang cantik,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqnIlfIO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan