Jumaat, 17 Mac 2017

Shawal yakin kedudukannya tidak tergugat



ARKIB : 30/03/2001
PEMAIN tengah, Mohd. Shawal Johadi yakin kedudukannya dalam barisan utama tidak tergugat walaupun lima pemain skuad kebangsaan akan kembali menyertai pasukan Selangor tidak lama lagi.

Bekas pemain skuad remaja negara itu berkata, prestasi konsistan serta kerja keras yang dipamerkannya sejak menyertai pasukan itu merupakan antara faktor keyakinan tersebut.

``Persaingan bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pastinya sengit apabila kelima-lima pemain negara kembali menyertai latihan.

``Apapun saya tidak bimbang mengenai posisi saya dalam pasukan ini,'' katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan oleh Ambros Corporation Sdn. Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Pengeluar pakaian dan kasut sukan itu menyampaikan penajaan bernilai RM10,000 setiap satu kepada lima pasukan serta 10 pemain bola sepak yang setiap seorang mendapat tajaan RM5,000.

Lima pasukan itu adalah pasukan Liga FAM, Intel dari Pulau Pinang, Tentera Darat dan Ambros Sri Putra, kedua-duanya dari Kuala Lumpur, Ambros United Youngster dari Selangor dan Inter Nacionale dari Sabah.

Pemain lain yang mendapat penajaan termasuklah Roslee Md. Derus, Imran Ahmad, Azmil Azali, Hamzani Omar, Azuan Othman, Adrien Jurad Chamrong, Mohd Saifulnizam Hussin, Fatrurazi Rozi dan Roslisam Mohd Noor.

Mengenai posisinya sebagai pemain tengah kanan pasukan itu, Shawal berkata, dua lagi pemain Selangor, Jaafar Salleh dan Bakhtiar Othman yang mewakili skuad kebangsaan di pertandingan pusingan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong dan Qatar baru-baru ini juga mampu mengisi posisi tersebut.

Pemain berusia 22 tahun itu juga yakin akan dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Alan Harris untuk menyertai skuad kebangsaan menghadapi Sukan SEA XXI September ini

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bZD5az00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan