Sabtu, 25 Mac 2017

Yakin mereka ke akhir Piala Malaysia - Selangor tidak mendabik dada



 ARKIB : 25/10/2002
Jurulatih Sabah, Justin Ganai (kiri) memerhatikan pemainnya menjalani latihan di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam menjelang pusingan kedua separuh akhir, esok. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN.

BAGI Selangor, mungkin terlalu awal untuk mendabik dada berdasarkan kelebihan dua gol terutama sebelum bertandang ke Stadium Darul Aman untuk separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kedah, esok.

Namun bagi pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad, gegak gempita penyokong Hijau Kuning yang begitu digeruni bakal ditenggelamkan pemain-pemainnya yang akan beraksi seolah-olah Selangor sudah berada sebelah kaki untuk ke perlawanan akhir.

Bukan hasrat untuk memperkecilkan kemampuan Kedah tetapi beliau percaya, pemain Selangor memiliki kelebihan tersendiri untuk mempertahankan kedudukan 3-1 yang dicatat di Stadium Shah Alam pada separuh akhir pertama, Selasa lalu.

``Tanpa kehadiran Mass Sarr Jr. dan Lim Chan Yew yang menerima dua kad kuning, Selangor akan teguh bertahan berikutan kehadiran semula Ivica Kulasevic yang akan berpasangan dengan B. Rajinikandh di bahagian pertahanan.

``Kita benar-benar berharap, mereka dapat bergandingan dengan baik untuk mengekang jentera serangan Kedah,'' ujarnya.

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna Selangor akan bermain secara bertahan sebaliknya lebih kepada corak permainan yang berhati-hati.

Sambil mengakui rekod pencapaian Kedah di tempat sendiri amat baik musim ini, Selangor tentunya tidak boleh memandang ringan keupayaan lawannya itu.

``Kita akan bermain macam biasa dengan bahagian serangan tetap diberi keutamaan.

``Biar pun tanpa kehadiran Mass Sarr, kami masih boleh menaruh harapan kepada Azman Adnan, Mohd. Farid Dewan dan Amri Yahyah.

``Malah jika perlu, kami masih boleh menurunkan Nizaruddin Yusof untuk menyerang,'' jelasnya.

Mengenai risiko besar yang bakal dihadapi Selangor berikutan tujuh pemainnya sudah menerima kad kuning pertama, Mokhtar menjelaskan, ia tidak akan menggugat peluang pasukannya untuk beraksi habis-habisan di separuh akhir kedua nanti.

``Tumpuan untuk separuh akhir perlu difikirkan lebih dulu. Untuk perlawanan akhir, kita akan fikir kemudian,'' tegasnya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) akan mengadakan rombongan ke Stadium Darul Aman untuk memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.

Sesiapa yang berminat untuk menyertainya, boleh mendaftarkan diri di Pejabat SSFC, Wisma FAS mulai hari ini dari pukul 10 pagi hingga 7 petang.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 019-3564201, 012-3056823 atau 012-3138797.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cO6XQ0v2© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan