Isnin, 20 Mac 2017

Azam Red Giants tumbangkan Seladang

ARKIB : 09/02/2002
AWAS Perak kerana Red Giants sudah bersedia sepenuhnya untuk mengganyang mereka dalam pertemuan bola sepak Perdana Satu di Shah Alam malam ini.

Selangor memang menyimpan dendam ke atas naib juara Piala Malaysia itu berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan musim lepas.

Mengimbas kembali pertembungan kedua-dua pasukan musim lepas, Perak menumpaskan Selangor 4-3 di Ipoh sebelum seri 1-1 di Stadium Shah Alam pada pertemuan kedua. Malah, Selangor kehilangan seorang pemain pada pertemuan ulangan itu.

``Berdasarkan rekod, Perak sering mengecewakan kami,'' kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamidin Amin di Kelana Jaya, semalam.

``Pertemuan dengan Perak sudah menjadi agenda peribadi bagi Red Giants. Inilah masanya untuk melunaskan dendam kami ke atas Perak.''

Penyokong setia Red Giants boleh merasa yakin dengan pasukan mereka untuk pertemuan malam ini.

Kemenangan ke atas Terengganu ketika memulakan aksi Perdana Satu 2002 di Kuala Terengganu adalah bekalan semangat paling ampuh untuk terus menyengat di Stadium Shah Alam malam ini.

Gelanggang Selangor itu sudahpun membuktikan `semangat keramatnya' kepada penyokong tuan rumah apabila Red Giants menelan Melaka dalam aksi kedua liga.

``Sokongan peminat setia sangat penting kepada Red Giants kerana Perak nampaknya sudah mula menunjukkan taringnya,'' kata Hamidin.

Tuan rumah mempunyai sebab untuk bimbang dengan kebangkitan Perak yang menumpaskan juara Piala Malaysia dan naib juara liga, Terengganu 1-0 setelah tewas dengan jumlah gol yang sama kepada Johor FC.

Skuad Seladang juga mencatat kemenangan cukup bergaya 5-3 ke atas Perlis dalam saingan sulung Piala FA sambil menyaksikan Khalid Jamlus mencipta jaringan hatrik.

Namun, rangkaian Selangor, Azman Adnan dan Nizaruddin Yusof serta berkemungkinan Rusdi Suparman sudah bersedia untuk menenggelamkan kehebatan Khalid malam ini. Itulah janji Red Giants kepada peminat setianya.



Smber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4brv20HWY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan