Sabtu, 11 Mac 2017

Selangor ubah bahagian tengah

ARKIB : 07/10/2000
SELANGOR hanya perlu melepasi satu halangan sahaja lagi sebelum mara ke separuh akhir apabila menentang Perak pada separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Jika tersilap langkah, mimpi ngeri akan mengekori jurulatihnya, K. Rajagopal yang baru sahaja diiktiraf reputasinya selaku jurulatih terbaik Asia bagi bulan Ogos selepas membawa skuadnya meraih piala Liga Perdana.

Rajagopal sedar bahawa Perak, juara Piala Malaysia sebanyak lima kali bukan calang-calang pasukan apabila bermain di gelanggang sendiri, dan sesuatu perlu dilakukan jika mahu hajat pasukannya ke separuh akhir menjadi kenyataan.

Oleh itu, Rajagopal berkemungkinan membuat sedikit perubahan di bahagian tengah pasukannya untuk mengekang sebarang taktik Perak yang nyata ampuh apabila bermain di gelanggang sendiri.

Setakat ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Perak memihak kepada tuan rumah yang menang 1-0 dalam kempen liga Perdana.

''Kita mungkin membuat perubahan di bahagian tengah. Tetapi sama ada kita akan menambah atau mengurangkan seorang pemain belum dapat dipastikan, ia bergantung kepada situasi,'' katanya ketika dihubungi di Ipoh, semalam.

''Perubahan itu jika dilakukan bukan kerana bahagian tengah kita lemah atau ada kekurangan, tetapi untuk bersiap sedia dengan sebarang taktik yang bakal digunakan oleh tuan rumah,'' tambahnya.

Selangor, juara 28 kali Piala Malaysia dan kali terakhir menjulang piala keagungan bola sepak tempatan itu pada 1997 bagaimanapun tidak tertekan dengan reputasi selaku juara terbanyak sebaliknya Rajagopal berkata Perak lebih merasakan bebanan itu.

''Mereka perlukan kemenangan untuk memenuhi hajat sendiri dan juga para penyokong mereka,'' katanya. ''Lagi pun kita sudah mempunyai kelebihan satu gol.''

Red Giants bertandang ke Ipoh dengan bekalan kemenangan 2-1 ke atas pasukan Seladang di Stadium Shah Alam Sabtu lepas.

Begitu pun, Rajagopal tetap mengingatkan para pemainnya bahawa kelebihan itu bukan bermakna tugas mereka sudah selesai.

''Masih ada 90 minit lagi sebelum hajat kita ke separuh akhir menjadi realiti,'' katanya, yang turut menghormati keupayaan rakan sejawatnya, Karl Heinz Weigang merencana sesuatu yang boleh membawa mala petaka kepada Red Giants.

''Tugas kita belum selesai sehinggalah kita menang nanti,'' tegas beliau.

Perak sudah pasti akan berusaha mengekang penyerang lincah Selangor dan kebangsaan, Rusdi Suparman daripada bergerak bebas, tetapi Rajagopal menegaskan taktik itu jika diterapkan oleh tuan rumah adalah satu kesilapan.

''Dalam perlawanan, siapa sahaja boleh menjaringkan gol... bukan sahaja Rusdi,'' katanya yang jelas tidak bimbang kerana pemain lain seperti Yusri Che Lah, Nor Suhaimi Bahauddin, Nazzab Hidzan dan Rizal Sukiman juga mempunyai kebolehan menerobos pertahanan lawan.

Rajagopal bukan bercakap kosong. Dua gol di Shah Alam, Sabtu lepas dijaringkan oleh pertahanan, B. Rajnikandh dan Suhaimi, yang sebelum itu lebih banyak bertindak selaku pengumpan kepada Rusdi.

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b47KCrbi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan