ARKIB : 29/05/1999
SELANGOR akhirnya gagal
mempertahankan rekod tanpa kalah apabila tewas 1-2 kepada Perlis di Stadium
Shah Alam dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua, semalam.
Kekalahan itu sekali gus
menggugat kedudukan Red Giants selaku pendahulu liga selepas 14 perlawanan.
Begitu pun, pasukan tuan rumah
lebih dulu membuka jaringan menerusi penjaring utamanya, Rusdi Suparman pada
minit ke-12 sebelum Perlis menyamakan kedudukan lapan minit selepas itu
menerusi Rozmin Musa dan bekas penyerang kebangsaan, Yusri Che Lah menambah gol
kedua Perlis pada minit ke-44.
Keputusan itu bermakna rekod
kemenangan memihak kepada Singa Utara selepas skuad bimbingan Tajudin Nor itu
seri 3-3 di Kangar pada pusingan pertama tetapi menang 4-3 dalam penentuan
penalti.
Penyerang kebangsaan, Rusdi
menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan pembukaan selepas menyambar
bola yang muntah dari tangkapan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin selepas
umpanan lintang S. Paidiya Rau.
Namun, Perlis bingkas bangkit
mencari gol penyamaan dengan mengatur serangan pantas dan pada minit ke-20, Rozmin
yang tidak dikawal di sebelah kanan kawasan Selangor menerima hantaran rakan
dan ketika berdepan dengan penjaga gol Merah Kuning, Amirul Zain Ismail,
penyerang itu menyungkit bola melepasi Amirul yang menerjah masuk untuk gol
penyamaan.
Aksi bertambah rancak apabila
kedua-dua pasukan membuat serangan yang seimbang dengan gandingan Rusdi-Paidiya
untuk Selangor dan Manzoor Azwira Wahid-Hairil Zamri Rashid sesekali berjaya
menggugat kubu lawan masing-masing.
Namun, Perlis yang berjaya
meletakkan pasukan di depan tetapi menerusi pemain tengah Yusri yang mudah
menanduk masuk hantaran Hairil ketika perlawanan babak pertama berbaki seminit.
Selangor yang ketinggalan
berusaha mencari gol penyamaan dan Paidiya hampir mengikat kedudukan tetapi
tendangan leretnya pada minit ke-50 dari luar kotak penalti ditepis keluar
Rosman.
Namun, perlawanan setengah jam
selepas itu tiba-tiba hambar apabila kedua-dua pasukan gagal melakukan sebarang
percubaan ke gawang lawan.
Jentera tengah Selangor yang
dikemudi Azzmi Aziz dan K. Sanbagamaran langsung tidak menjadi apabila mudah
dipatahkan pertahanan Perlis.
Sebaliknya, serangan Singa
Utara lebih tersusun tetapi benteng pertahanan Selangor diketuai Zainal Abidin
Hassan agak kebal menafikan bola daripada memasuki kawasan kotak penalti
mereka.
Paidiya mempunyai dua peluang
terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-77 dan 83 tetapi percubaan
pertamanya hanya sedikit melewati palang gol manakala satu lagi percubaan
tersasar keluar.
Keputusan di Shah Alam itu
sebaliknya membawa khabar gembira untuk Johor apabila merampas takhta liga
selepas menewaskan Telekom Melaka 1-0 di Stadium Kubu.
Gol tunggal yang memastikan
tiga mata untuk Johor itu dihasilkan oleh Liew Kim Tu menerusi jaringan pada
minit ke-28.
Johor FC pula hanya memperoleh
satu mata pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru semalam selepas
tewas 4-5 menerusi tendangan penalti kepada TNB Kelantan.
Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada
separuh masa pertama. Johor FC menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri
dengan mendahului lawan pada minit ke-16 menerusi jaringan Mohd. Shukri Ismail.
Bagaimanapun kegembiraan
pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila TNB Kelantan berjaya menyamakan
kedudukan menerusi Mohd. Juhari Ghazali dua minit kemudian.
Dalam penentuan tendangan
penalti, TNB Kelantan nyata lebih bernasib baik apabila menang 5-4 untuk
memungut dua mata sementara Johor FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, NS Chempaka yang menghuni tangga terbawah menewaskan Melaka 4-2.
NS Chempaka mendahului 2-1 pada
separuh masa pertama.
Mohd. Rizal Harun mencipta
hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-10, 41 dan 49. Satu lagi gol
menerusi M. Sivam pada minit ke-54.
Dua gol Melaka pula diperoleh
menerusi L. Sugumaran pada minit ke-23 dan 75.
Biarpun berdepan dengan dua
kesulitan, Angkatan Tentera masih mampu untuk menundukkan Kelantan 3-1 di
Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, semalam.
Tentera yang turun selaku
pasukan pelawat ditambah kesulitan lain apabila terpaksa bermain dengan 10
pemain akibat dibuang padang.
Ahmad Nizam Ariffin membuka gol
Tentera menerusi satu rembatan deras jarak jauh hasil hantaran rakan pada minit
ke-39.
Nizam sekali lagi bertindak
cemerlang selepas itu, kali ini menggunakan kepalanya untuk mencipta jaringan
kedua Tentera pada minit ke-43.
Namun pelawat tersentak
seketika apabila corak permainan kasar pemain pertahanannya, Zulkifli Lazim
mengundang hukuman dibuang padang daripada pengadil.
Akibat mengasari pemain Kelantan,
Adli Daud, pengadil Jamil Zakaria tanpa teragak-agak melayangkan kad merah
untuk Zulkifli, seminit selepas gol kedua Tentera.
Asakan Tentera sebaliknya kian
garang sejurus kemudian biarpun kekurangan satu pemain sehingga tandukan Rosdi
Tahir membawa pelawat mara 3-0.
Bagaimanapun, Kelantan menerusi
sepakan sudut minit ke-90, mendapat gol sagu hatinya hasil tandukan Tan Cheng
Hoe yang menghampakan penjaga gol Abdul Rahman Baba.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmZ7TDpK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan