ARKIB : 29/04/2000
BARISAN pemain Pahang menjalani
senaman ringan sebelum sesi latihan di Padang MPK, Kuantan kelmarin. Pahang
akan menentang Pulau Pinang hari ini. - Gambar SHAHJEHAN MAAMIN
BIAR pun masih di peringkat
awal, saingan Perdana Satu tetap menyajikan aksi menarik kesemua pasukan yang
pasti berhempas pulas untuk mencari kemenangan termasuk perlawanan malam ini,
lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Walaupun jadual Perdana Satu
masih panjang, pungutan mata penuh dalam perlawanan malam ini penting buat
kesemua pasukan yang mengharapkan kedudukan lebih selesa.
Selangor selaku pendahulu carta
Perdana Satu tentunya tidak mahu kedudukan tangga teratasnya dipintas pasukan
lain, hanya disebabkan kegagalan dalam perlawanan menentang Terengganu.
Oleh itu, misi memburu
kemenangan berterusan buat Selangor yang menyandarkan harapan kepada pemain
kebangsaan, Rusdi Suparman dan Zami Mohd. Noor untuk menyekat Terengganu di
Stadium Shah Alam.
Namun, pasukan bimbingan
jurulatih Yunus Alif bukannya mudah untuk dihalang kemaraannya, malah kini
sudah bergelar skuad handalan Pantai Timur menerusi beberapa kemenangan
termasuk menewaskan skuad elit, Pahang sebelum ini.
Pahang pula berdepan Pulau
Pinang yang terpaksa bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk meneruskan
kemaraannya selepas mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Perlis 2-1.
Kali ini, Pulau Pinang memikul
tugas berat kerana berdepan Pahang yang sudah mampu ''bangkit'' untuk memberi
saingan dalam Perdana Satu selepas memulakan kempen dengan persembahan
membosankan.
Begitu juga Perlis yang
mengharapkan Stadium Utama, Kangar dipenuhi penyokong setia Singa Utara bagi
membantu usaha mengekang Sabah.
Perlis meletakkan harapan
kepada penyerang lincah, G. Shanmugam dan S. Paidiya Rao untuk memberi tekanan
kepada Sabah.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, peminat bola sepak bukan sekadar ingin menyaksikan keupayaan Negeri
Sembilan menentang juara Piala Malaysia 1999, Brunei malah mahu melihat sejauh mana
kehebatan penjaring terbanyak Perdana Satu musim lalu, Azman Adnan.
Kuala Lumpur pula pasti
menghadapi saingan sengit Seladang di Stadium Perak yang sering mengundang
gerun pasukan lawan.
Bagaimanapun, ''bala tentera''
jurulatih Mat Zan Mat Aris mampu menghadapi apa sahaja cabaran termasuk
menentang Perak yang kini diperkuatkan ramai pemain kebangsaan, Ahmad Shahrul
Azhar, Syamsul Saad, Mohd. Noor Derus dan V. Saravanan.
Walaupun dibarisi pemain
handalan, barisan pertahanan Perak tetap gentar menghadapi serangan Kuala
Lumpur yang diperkuatkan penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof dan Mohd. Farid
Dewam.
Satu lagi perlawanan menarik
ialah pertemuan skuad Bujang Senang dengan Johor di Stadium Sarawak yang
dijangka penuh dengan debaran
sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TNHiT6Ub
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan