ARKIB : 20/02/2000
SEBAGAI ibu tunggal,
tanggungjawab untuk mendidik tiga anaknya cukup mencabar, apatah lagi untuk
memenuhi hasrat seorang dari anaknya itu untuk mengikut jejak Allahyarham
sumainya, Mokhtar Dahari, sebagai pemain bola sepak ternama, disamping berjaya
dalam bidang pendidikan.
Tetapi, bagi Tengku Zarina
Tengku Ibrahim, tanggungjawabnya itu kini hampir berjaya apabila harapan anak
sulungnya menjejaki langkah aruah suaminya mula membuahkan hasil.
Mohd Reza Mohd Mokhtar, 19,
kini terpilih sebagai pemain dalam pasukan pelapis Selangor, malah pada
pertandingan separuh akhir Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini turut
disenaraikan sebagai pemain simpanan.
Selain bola sepak, Mohd Reza
juga berjaya dalam bidang pendidikan.
Tengku Zarina berkata, Mohd
Reza yang kini pelajar tahun satu di Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah
mewakili pasukan Bawah 14 Wilayah Persekutuan ke kejohanan kebangsaan.
"Pada mulanya saya tidak
begitu ambil berat hasratnya menjadi pemain bola sepak kerana mahu dia
menumpukan perhatian kepada pelajaran, tetapi kerana dia bercita-cita mengikuti
jejak aruah ayahnya, membuatkan saya akur dan memberi dorongan," katanya
ketika ditemui di Alor Setar atas urusan pejabatnya.
Beliau pada mulanya menganggap
minat anaknya terhadap bola sepak turut berubah setelah ketiadaan Mokhtar
Dahari, tetapi jangkaan itu meleset.
Kini Tengku Zarina, 45,
terpaksa pula mengikut kerenah anaknya, sama seperti dia mengikuti kerenah
suaminya sebagai pemain bola sepak dulu.
Ketika Mokhtar Dahari masih
bergelar bintang bola sepak negara, Zarina sering dilihat sebagai penyokong
yang memberi semangat dan kata perangsang dan sering kelihatan di padang
latihan dan gelanggang pertandingan setiap kali Mokhtar bermain.
Mokhtar, yang sejak awal 70-an
lagi sudah mewakili pasukan kebangsaan dan menempa nama sebagai pemain disegani
dan tiada tandingnya ketika itu, meninggal dunia pada usia awal 40-an pada 11
Julai 1991, akibat penderitaan pada sistem sarafnya.
"Apa yang saya lakukan
terhadap Mokhtar, kini saya lakukan pula kepada Reza, sering berada di padang
pada latihan dan perlawanan," katanya.
Kata Tengku Zarina, bagi
memenuhi cita-cita Mohd Reza beliau terpaksa melakukan perkara yang sama.
Mohd Reza mula menunjukkan
minat dalam bola sepak ketika berusia 10 tahun, di tahun-tahun terakhir sebelum
Mokhtar meninggal dunia. Ini kerana ketika masih kecil, beliau sering menemani
ayahnya ke luar negara, stadium dan padang untuk bermain bola sepak.
Selain Mohd Reza, adiknya Nur
Azerena, 17, turut aktif dalam sukan dan mewakili sekolah dalam permainan bola
jaring Kolej Tunku Khursiah, Negeri Sembilan.
Tengku Zarina yang kini
bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Korporat di Permodalan Nasional Berhad
(PNB) mempunyai seorang lagi anak, Nur Arina, 12 tahun, hasil perkahwinan
dengan Mokhtar Dahari pada tahun 1979. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SvHCaUV5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan