ARKIB : 22/06/1999
KEJAYAAN Selangor mara dalam
saingan bola sepak Piala Malaysia dan muncul naib juara liga Perdana Dua
mengukuhkan kedudukan K. Rajagopal untuk diserapkan sebagai jurulatih tetap
skuad Red Giants itu.
Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar
Ahmad berkata, Rajagopal telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan wajar
diberi penghargaan itu.
''Dia berjaya menyelamatkan
Selangor yang pada satu ketika tidak diberi harapan,'' katanya semalam. ''Tiada
sebab mengapa dia tidak boleh mengambil alih tugasan jurulatih sepenuhnya.''
Rajagopal, yang merupakan
penolong kepada Mike Pejic, memangku jawatan jurulatih dari England itu selepas
dia direhatkan sementara pada awal bulan ini atas desakan pemain.
Selangor menang tiga daripada
baki empat perlawanan bersama Rajagopal dan seri sekali.
Mokhtar berkata, pintu buat
Pejic sudah tertutup meskipun dia masih memiliki kontrak bersama skuad Red
Giants itu sehingga hujung tahun depan.
''Kami tidak akan membenarkan
dia kembali membimbing Selangor meskipun dia masih berminat.
''Saya berpegang pada janji,
permintaan pemain adalah keutamaan dan jika pemain sudah tidak mahu Pejic lagi,
begitu juga keputusan FAS,'' katanya lagi.
Sementara itu, Mokhtar turut
mengumumkan semua pemain Selangor akan menerima imbuhan tambahan atas kejayaan
muncul naib juara Perdana Dua dan layak ke Piala Malaysia.
''Kesemua wang kemenangan
RM50,000 yang diberikan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) adalah hak mereka
dan FAS akan menambah lagi imbuhan itu,'' katanya lagi.
''Bagaimanapun saya harap ini
bukanlah keutamaan pemain. Selesaikan dahulu tugas Piala Malaysia dan saya
percaya imbuhan lebih besar akan menanti,'' katanya lagi.
Mokhtar turut yakin Selangor
mampu melangkah lebih jauh, sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam saingan
Piala Malaysia.
Meskipun pasukan itu dikejutkan
dengan penarikan diri beberapa pemain bintang pada awal musim, beliau yakin
Selangor masih berupaya berdepan cabaran pasukan gergasi seperti Pahang, Negeri
Sembilan dan Pulau Pinang.
Katanya pemain seperti Zainal
Abidin Hassan, penjaring terbanyak Perdana Dua, Rusdi Suparman, Nazzab Hidzan,
K. Sanbagamaran mampu membantu pemain-pemain muda merealisasikan hasrat
Selangor muncul juara
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RwvMEOOl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan