ARKIB : 05/01/2000
Selangor terpaksa korban lima
tonggak utamanya
SELANGOR terpaksa berkorban
dengan menggunakan sebahagian besar pemain simpanan apabila memulakan aksi bola
sepak Liga Perdana Satu dan Piala FA yang bermula Mac ini, apabila lima tonggak
utamanya terpaksa dilepaskan untuk tugas negara.
Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar
Ahmad berkata, lima pemain Merah Kuning iaitu penyerang Rusdi Suparman, dua
pemain pertahanan Syamsul Amri Abu Bakar dan Lim Chan Yew serta pemain baru,
Zami Mohd. Noor dan B. Rajinikandh akan menggalas cabaran negara ke pusingan
kelayakan Piala Asia, Mac ini.
''Kami terpaksa memulakan aksi
dengan sebahagian besar pemain simpanan dengan ketiadaan lima pemain ini.
''Begitu pun, kami tidak kisah
kerana Selangor sudah berjaya memperoleh sebuah pasukan yang mantap dengan
barisan pemain yang diyakini mampu menyumbangkan sesuatu yang diharapkan.
''Lagi pun, tugas negara juga
perlu diutamakan dan saya harap, lima pemain kami dapat menunjukkan satu tahap
aksi yang membanggakan negara,'' kata Mokhtar semalam.
Skuad kebangsaan kendalian
jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, bakal menghadapi kelayakan dua pusingan Piala
Asia dengan pusingan pertama dilangsungkan di Kuala Lumpur pada 25-29 Mac dan
pusingan kedua di Bangkok, Thailand pada 4-8 April.
Malaysia diletakkan dalam
kumpulan 8 bersama Thailand, Korea Utara dan Taiwan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4SoVFyvXf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan