Ahad, 4 Disember 2016

Selangor sekat Johor FC



ARKIB : 12/06/1999
PEMAIN Johor F.C, Shamsul Sulaiman (kiri) terjatuh sewaktu berusaha melepasi pemain Selangor, Assrof Hanafiah pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 3-1. - Gambar YUSMAN YUNUS.

SELANGOR merampas kedudukan di tangga kedua, sekali gus mencerahkan peluang ke Piala Malaysia selepas mengalahkan Johor FC 3-1 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Shah Alam, semalam.

Nazzab Hidzan menjaringkan dua gol pada minit ke-27 dan 57, manakala penyerang Rusdi Suparman melengkapkan kemenangan apabila menyumbat masuk bola pada minit ke-40.

Ketinggalan 0-3 tidak mematahkan semangat pemain Johor FC yang akhirnya mendapat gol sagu hati jaringan ketua pasukan Zainuddin Yassin pada minit ke-66.

Di Stadium Kubu, pasukan tuan rumah, Melaka mengatasi pendahulu liga, Johor apabila menang 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit permainan.

Tuan rumah mendahului menerusi jaringan K. Rajan pada minit ke-25, tetapi Johor berjaya menyamakan kedudukan apabila penyerang berbisa, Rusdee Sulong menyumbat masuk bola pada minit ke-50.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat masa penuh dan memaksa penentuan pemenang menerusi sepakan penalti yang membolehkan Melaka memungut dua mata manakala Johor dengan satu mata.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan kedudukan Johor selaku pendahulu liga dengan 35 mata berbanding Selangor di tangga kedua selepas mengumpul 34.

Di Stadium Utama, Kangar, tuan rumah Perlis mengetepikan hasrat Kelantan untuk memperbaiki kedudukan apabila mencatat kemenangan besar 5-0.

Tanpa aksi penyudah, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama, tetapi Perlis yang memperkukuhkan jentera serangan untuk meraih kemenangan.

Gol jaringan Mohd. Zalmie Jamlus pada minit ke-50 nyata menyemarakkan semangat rakan sepasukan, sekali gus menyaksikan Perlis berjaya membolosi empat gol lagi.

Rozmin Musa menambah jaringan pada minit ke-66, diikuti V. Yogeswaran (72), Yusri Che Lah (89) dan Mohd. Fuad Md. Noor, minit terakhir permainan.

Di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu, pasukan tuan rumah TNB Kelantan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tentera.

Begitupun, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Tentera menerusi Mohd. Zahid Ghazali Hashim pada minit ke-13.

TNB Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Baharuddin Ghazali pada minit ke-22, sebelum Mohd. Juhari Ghazli melengkapkan gol kemenangan di minit ke-35.

Tuan rumah cuba melebarkan jaringan pada babak kedua namun ketangkasan penjaga gol Tentera, Aris Fadzilah memastikan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat permainan.

Dalam pada itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, NS Chempaka melakukan kejutan apabila menewaskan Telekom Melaka 4-1 untuk kemenangan ketiganya musim ini.

NS Chempaka mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Chia Ah Bee pada minit kelapan dan dua gol oleh Mohd. Khaidir Md. Dom pada minit ke-16 dan 38, sebelum Telekom Melaka mendapat gol sagu hati jaringan R. Sekar, minit ke-44.

Tuan rumah yang terus mengasak pada babak kedua melengkapkan kemenangan hasil jaringan K. Olaga Shanker, lapan minit sebelum tamat permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rr1E5OHA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan