Rabu, 21 Disember 2016

Selangor terajui semula Perdana Satu

ARKIB : 08/05/2000
SELANGOR merampas kedudukan teratas bola sepak Liga Perdana Satu apabila menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

A. JAILANI ABDULLAH melaporkan, kemenangan itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan Red Giants di gelanggang sendiri selepas enam perlawanan setakat ini untuk mengumpul 13 mata, dua mata di depan Negeri Sembilan.

Sabah pula terus terperosok di tangga kedua terbawah dengan hanya mengumpul satu mata.

Selangor menguasai perlawanan semalam yang menyaksikan pasukan pelawat pula nyata gagal menunjukkan permainan kemas terutama di bahagian tengah.

Tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-18 hasil kerjasama gandingan pemain kebangsaan, Zami Mohd. Nor dan Rusdi Suparman.

Bermula dari tengah, Zami melarikan bola ke kiri sebelum membuat hantaran lintang kepada Rusdi yang tidak dikawal kemas untuk memudahkan penyerang kebangsaan itu menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad dengan sepakan dari jarak dekat.

Rusdi mempunyai peluang untuk meletakkan Selangor _ yang menyaksikan rekod tanpa kalahnya lebur apabila tewas 3-0 di Stadium Bandaraya kepada Pulau Pinang minggu lepas _ selesa di depan pada minit ke-33 namun Khairul sudah dapat membaca arah sepakannya.

Sabah yang mempamerkan permainan kurang tersusun sejak awal permainan, mencemaskan para penyokong tuan rumah apabila sepakan kencang Zainizam Marjan dari jarak kira-kira 20 meter hampir menewaskan penjaga gol, Azmin Azram Abd. Aziz yang terleka, namun percubaan itu tersasar sedikit ke sebelah kanan pintu gol.

Bangkit dari kejutan pelawat, Selangor kembali menyusun gerakan dan menyaksikan Nor Suhaimi Bahauddin nyaris menghasilkan gol kedua selepas melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-37.

Begitupun, sepakannya hanya menyapa palang gol sebelum keadaan kembali tenang untuk Sabah yang sebelum ini tewas 5-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Likas minggu lalu.

Kelekaan Azmin Azram akhirnya membawa padah buat Selangor apabila sepakan Zainizam dari luar kotak penalti gagal ditangkap dengan kemas menyebabkan bola meleret keluar.

Sayap kiri Sabah, Henry Saimpon yang mengambil sepakan sudut membuat tendangan cantik ke depan pintu gol Red Giants dan bekas penyerang tinggi lampai Johor, Rosdee Sulong melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-44.

Sabah kembali tertekan sebaik sahaja babak kedua bermula apabila barisan pertahanannya membuat kesilapan di hadapan gol, namun terselamat apabila sepakan Zami yang mendapat peluang terbuka terkena tiang gol sebelah kiri.

Usaha Selangor akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila sayap kanannya, S. Sivaram melayangkan badan untuk menanduk masuk hantaran lintang Jaafar untuk mendahului 2-1.

Sabah yang hanya seri sekali sebelum ini, membawa masuk bekas penyerang kebangsaan, Suharmin Yusof untuk menggantikan Redzuan Ahmad Khan pada minit ke-70, tetapi tidak mendapat sokongan dari rakan-rakan di bahagian tengah.

Sebaliknya, pasukan Negeri di Bawah Bayu itu hampir menyaksikan pintu golnya ditembusi buat kali ketiga pada minit ke-72, mujur percubaan Zami di dalam kotak penalti ditampan keluar oleh Khairul Azman.

Ketika permainan hampir tamat, Jaafar melebarkan jurang gol tuan rumah apabila sepakannya meluru ke penjuru kiri gawang Sabah pada minit ke-90.

Sementara itu, dalam perlawanan Perdana Dua, Tentera memperkukuhkan kedudukan apabila menewaskan TNB Kelantan 3-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Najib Ali memastikan Tentera mendahului 1-0 pada babak pertama permainan hasil jaringan minit ke-21, sebelum TNB menyamakan kedudukan menerusi Azman Daud, minit ke-44.

Begitupun, asakan jentera serangan Tentera akhirnya berjaya menambahkan dua lagi gol menerusi Andrew Lawadin (84) dan Yaakob Aris, minit ke-88 untuk kemenangan kedua pasukan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TSkN90lj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan