Selasa, 20 Disember 2016

Red Giants kembali disegani

MEI 2000
ARKIB : 01/05/2000
TIGA kali menang dan satu seri yang dicatatkan oleh Selangor selepas empat perlawanan Liga Perdana Satu musim ini kembali meletakkan pasukan itu sebagai pasukan disegani tahun ini.

Selepas tersingkir ke Perdana Dua tahun lalu, pasukan Red Giants itu mengumpul sisa-sisa kekuatan dan semangat untuk muncul naib juara di belakang Johor sekali gus kembali ke dalam kancah persaingan liga utama.

Pasukan yang dibimbing K. Rajagopal itu seperti mana tahun-tahun sudah terus menarik minat pemain-pemain bertaraf bintang dan pada musim ini termasuk Zami Mohd. Nor, B. Rajanikadhn dan penyerang sensasi, Rusdi Suparman yang menganggotai skuad kebangsaan.

Selepas perlawanan pertama menentang Perlis yang berkesudahan seri 2-2, skuad Rajagobal tidak menoleh ke belakang lagi dan pada tiga perlawanan terakhirnya menumbangkan tiga pasukan termasuk Pahang dan Johor yang dianggap pilihan kerana turut menampilkan pemain-pemain berkaliber.

Kelmarin, Stadium Shah Alam yang merupakan medan keramat Selangor menjadi saksi kepada tumbangnya satu lagi mangsa, Terengganu dengan keputusan 2-0.

Pasukan dari Pantai Timur itu yang merupakan naib juara Piala Malaysia 1998 ketika di bawah bimbingan Abd. Rahman Ibrahim yang kini berkhidmat untuk pasukan kebangsaan, menunjukkan semangat juang tinggi di samping mempamerkan corak permainan kemas.

Namun gerakan Selangor lebih berkesan terutamanya dalam membuat serangan balas kilat.

''Saya berpuas hati dengan corak persembahan anak-anak buah saya semalam (kelmarin) walaupun masih terdapat beberapa kelemahan,'' kata Rajagobal semalam.

Menurut beliau, anak-anak buahnya kini bijak menangani tekanan hebat pasukan lawan dan kemudian segera menyambar peluang untuk menyerang balas seperti yang ditunjukkan pada perlawanan menentang Terengganu.

Katanya lagi, secara keseluruhannya, persembahan pasukannya meningkat pada setiap perlawanan.

Selepas ini, Selangor akan bertandang ke Pulau Pinang, pasukan yang dianggap pakar seri.

''Kami tidak akan memandang mudah perlawanan dengan Pulau Pinang kerana mereka sudah mula mencatatkan kemenangan selepas hanya seri pada dua perlawanan pertama mereka,'' kata Rajagobal.

Pulau Pinang menundukkan Perlis 2-1 di tempat sendiri pada 22 April lalu selepas dua kali seri ketika menentang Negeri Sembilan dan Perak.

Kelmarin pasukan dari utara itu turut seri dengan Pahang untuk mengutip enam mata setakat ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TOmBVATd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan