Maniam bawa cabaran Selangor
hadapi musim Liga Super 2017. FOTO FAS
BERNAMA
Kuala Lumpur: Bekas penolong
jurulatih pasukan Selangor, P Maniam dilantik sebagai ketua jurulatih skuad
Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.
Persatuan Bola Sepak Selangor
(FAS) menerusi laman sesawangnya www.faselangor.my memaklumkan Maniam, 48, akan
dibantu dua penolong jurulatih yang juga merupakan bekas pemain pasukan itu, K
Gunalan dan Noor Zaidi Rohmat.
"Pelantikan Maniam turut
mengambil kira kelayakan minimum terkini Perlesenan Kelab FAM 2017 untuk ketua
jurulatih penuhi," menurut FAS.
Maniam yang juga bekas pemain
Selangor pada era 1990-an memiliki lesen Pro Diploma Konfederasi Bola Sepak
Asia (AFC) iaitu lesen kejurulatihan tertinggi Asia setaraf lesen Pro Kesatuan
Bola Sepak Eropah (UEFA).
Beliau bukan nama asing kerana
pernah menjadi penolong jurulatih skuad Selangor selama tujuh musim dari 2009
hingga 2015 di bawah beberapa jurulatih berpengalaman termasuk Irfan Bakti Abu
Salim, Zainal Abidin Hassan serta K Devan.
Maniam juga pernah dilantik
sebagai pengendali sementara Selangor ketika dua bekas jurulatih iaitu Devan
dan Irfan Bakti meletak jawatan pada pertengahan saingan Piala Malaysia,
masing-masing pada 2011 dan 2013.
Sebagai rekod, beliau merupakan
ketua jurulatih kelab Liga FAM iaitu AirAsia Allstars FC pada musim ini.
Kepulangan semula Maniam
menyaksikan Gunalan, 51, yang menjadi pengendali sementara Selangor sejak Ogos
lalu, kembali ke jawatan asalnya sebagai penolong jurulatih.
Seorang lagi bekas pemain
Selangor, Azlisham Ibrahim, 43, kekal sebagai jurulatih penjaga gol manakala
bekas pemain skuad Gergasi Merah dari 1999-2001, Abdul Rauf Ahmad dilantik
sebagai pengurus pasukan.
Exco FAS, Omar Ali, 56, yang
merupakan bekas jurulatih skuad Piala Presiden Selangor dari 2015-2016,
dilantik sebagai penolong pengurus.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 11:22 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan