ARKIB : 28/09/1999
SELANGOR amat mengharapkan
sokongan padu penyokong sendiri sebagai satu daripada faktor yang mampu
memastikan skuad Red Giants mencatat kejayaan berterusan dalam kancah bola
sepak Piala Malaysia, musim ini.
Untuk itu, Selangor berharap
penyokong-penyokong setia mereka hadir di Stadium Shah Alam malam ini memberi
sokongan ke atas pasukan mereka yang turun menentang skuad juara bertahan,
Perak dalam perlawanan kumpulan A.
Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar
Ahmad berkata, Selangor kini bukan seperti musim-musim sebelum ini kerana
pemain sudah mendapat nafas baru untuk mempamerkan aksi lebih bernafsu.
''Kita sudah berjaya melayakkan
diri ke Piala Malaysia dan ke Perdana Satu tahun depan. Kita sudah berjaya
mencapai matlamat kita dan saya rasa Piala Malaysia adalah berbeza dengan liga
musim ini.
''Oleh itu, saya amat berharap
penyokong setia Selangor hadir beramai-ramai malam ini,'' kata Mokhtar,
semalam.
Menurutnya, Selangor berjanji
akan mempamerkan persembahan terbaik selain berusaha mencatat kemenangan
sebagai balasan sokongan mereka.
''Saya pasti kita akan mencatat
kemenangan malam ini. Ini bukan kerana saya memandang rendah keupayaan Perak
tetapi berdasarkan semangat dan komitmen pemain yang begitu dahagakan kejayaan
selain mahu mengekalkan momentum kemenangan,'' katanya.
Mokhtar berkata, beliau
difahamkan hanya pemain pertahanan, Asroff Hanafiah yang tidak dapat beraksi
malam ini kerana cedera di kaki.
''Yang lain berada pada tahap
terbaik termasuk penyerang Rusdi Suparman dan S. Paidiya Rau,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SM4MEb5M
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan