Jumaat, 2 Disember 2016

Giliran Merah Kuning kuasai takhta Liga Perdana Dua


 

ARKIB : 12/05/1999
PENYERANG Selangor, Rusdi Suparman melakukan tendangan gunting sambil diperhatikan oleh pemain TNB Kelantan, Zulkarnain Mohamad (kiri) sewaktu perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 1-0. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN.

SELANGOR kembali bertakhta di singgahsana bola sepak Liga Perdana Dua selepas menewaskan TNB Kelantan 1-0 pada perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Merah Kuning selepas seri lima kali berturut-turut, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah.

Gol tunggal Red Giants dijaringkan oleh penyerang utamanya, Rusdi Suparman pada minit ketujuh perlawanan yang menyaksikan perangkap ofsaid menyelamatkan TNB Kelantan daripada dibolosi banyak gol.

Selangor beraksi garang pada babak awal dengan menguasai permainan dan tidak membuang masa untuk meletakkan pasukan di depan seawal minit ketujuh menerusi serangan pertama.

Pemain tengah, Nazzab Hidzan mengambil sepakan sudut yang tidak langsung disentuh pemain TNB Kelantan untuk Rusdi mudah menolak masuk gol pembukaan.

Selangor seharusnya memperoleh sekurang-kurangnya tiga lagi gol selepas itu tetapi rangkaian penyerangnya, Rusdi, S. Paidiya Rau dan D. Surendran mensia-siakan peluang keemasan di depan gol.

Pada minit ke-11, Paidiya membuat sepakan kencang dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol TNB Kelantan, Noramri Mohd. Nawi.

Giliran Rusdi pula terlepas peluang menghasilkan gol pada minit ke-23 apabila tandukannya di depan gawang TNB hasil umpanan lintang Assrof Hanafiah mengenai palang gol.

Surendran turut gagal menemui sasaran sepuluh minit selepas itu apabila tendangan kencangnya dari jarak 30 meter sipi dari tiang gol.

Selangor menggandakan asakan pada babak kedua untuk melebarkan jaringan tetapi barisan penyerang Red Giants masih gagal menemui sasaran dengan mensia-siakan sekurang-kurangnya lima peluang terbaik menghasilkan gol.

Sementara itu, Perlis mencatat kemenangan kelima apabila menewaskan Melaka 4-1 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Skuad Singa Utara bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat apabila Ahmad Fadzli Abd. Latif menyumbat masuk bola seawal minit keenam permainan.

Jaringan itu tidak menyekat kemaraan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-17.

Yusri Che Lah memastikan Perlis mendahului 2-1 menerusi jaringannya pada minit ke-37 dan kedudukan ini kekal sehingga tamat babak pertama.

Tuan rumah yang menggandakan serangan sebaik babak kedua bermula akhirnya berhasil menembusi kubu lawan 12 minit kemudian apabila Hairil Zamri Abdul Rashid menyumbat masuk gol ketiga tuan rumah.

Keceriaan Singa Utara berterusan apabila melengkapkan kemenangan tiga minit sebelum tamat permainan. Jaringan V. Yogeswaran pada minit ke-87 memastikan tuan rumah memungut tiga mata penuh.

Bagaimanapun, ia tidak memberi erti besar buat Singa Utara yang kekal di tangga kelapan liga, di belakang Telekom Melaka akibat perbezaan gol.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rkc8F53j © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan