Khamis, 15 Disember 2016

Sikap sambil lewa pemain resahkan Red Giants

ARKIB : 01/02/2000
SKUAD Red Giants yang kehilangan enam pemain utamanya kepada skuad kebangsaan kini terpaksa berdepan pula dengan masalah sikap sambil lewa sebahagian pemain yang meresahkan pengurusan pasukan tersebut, lapor JAILANI ABDULLAH.

Pengurusnya, Datuk Mokhtar Ahmad yang bimbang dengan perkembangan itu memberitahu, sebilangan pemain Selangor tidak membuktikan kesungguhan mereka kepada pihak pengurusan sedangkan persiapan untuk pertandingan Piala FA hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi.

''Sebilangan pemain kami tidak menunjukkan kesungguhan dalam latihan seperti mana yang diharapkan. Saya menganggap mereka ini tidak profesional,'' katanya.

Walaupun tidak menjelaskan sejauh mana sikap tersebut telah menunjukkan kesan terhadap persediaan Red Giants yang kembali ke Perdana Satu musim ini, namun keputusan perlawanan persahabatan dengan kelab NS Chempaka minggu lalu mungkin pedoman terbaik untuk dijadikan ukuran awal.

Dalam perlawanan itu Red Giants hanya terdaya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan kelab dari Perdana Dua itu.

''Saya benar-benar tidak berpuas hati dengan mutu persembahan para pemain kami...perlawanan tersebut membuktikan bahawa pasukan kami belum mantap,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, beliau enggan menggunakan alasan ketiadaan enam tonggak yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebagai punca kepada kelemahan pasukannya.

''Ini kerana semua pemain yang masih ada dengan kami mempunyai kebolehan setanding dengan rakan-rakan mereka yang dipanggil oleh pasukan kebangsaan,'' katanya.

Pemain-pemain Selangor yang dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim ialah B. Rajinikandh, Lee Chan Yew, Shamsul Amri Abu Bakar, Ahmad Shahrul Azhar, Zami Mohd. Nor dan Rusdi Suparman.

Untuk memperbaiki sikap para pemain itu, Mokhtar akan mengadakan satu sesi perbincangan bertujuan memberi motivasi kepada para pemain.

''Selain itu, pertemuan tersebut juga bertujuan menerangkan kepada para pemain mengenai polisi pihak pengurusan agar para pemain faham dan tidak melakukan kesilapan sehingga boleh dikenakan tindakan disiplin,'' ujar beliau

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4StyqfSWG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan