ARKIB : 10/02/2000
SELANGOR terpaksa meletakkan
harapan kepada pemain-pemain daripada pasukan Liga Simpanannya apabila
memulakan kempen bola sepak Piala FA bulan depan berikutan semakin ramai
pemainnya yang dipanggil oleh pasukan kebangsaan, lapor A. JAILANI ABDULLAH.
Menurut pengurus pasukannya,
Datuk Mokhtar Ahmad, beliau kini hanya memiliki barisan 12 pemain sahaja untuk
disandarkan harapan, tetapi katanya beliau tidak begitu bimbang dengan keadaan
itu.
''Ini kerana para pemain saya
yang masih tinggal telah menunjukkan persembahan yang cukup baik setakat ini,''
tegasnya.
Beliau merujuk kepada kejayaan
anak-anak buahnya menundukkan Melaka dalam dua perlawanan berasingan minggu
lalu. Dalam kempen Piala Emas Raja-Raja, pasukan Liga Simpanan Selangor menang
besar 6-0 ke atas Melaka pada perlawanan suku akhir pertama di tempat sendiri
sementara pasukan seniornya juga menang ke atas Melaka dalam satu perlawanan
persahabatan.
''Kemenangan pemain-pemain saya
pada Piala Emas Raja-Raja membuktikan bahawa tahap mereka tidak jauh daripada
pemain-pemain senior yang dipanggil oleh skuad kebangsaan kerana Melaka
menurunkan ramai pemain dari skuad Liga Perdananya pada perlawanan itu,'' katanya.
Selangor sebelum ini terpaksa
melepaskan enam pemain tonggaknya iaitu B. Rajnikandh, Lee Chan Yew, Shamsul
Amri Abu Bakar, Rusdi Suparman, Zami Mohd. Nor dan Ahmad Shahrul Azhar kepada
jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.
Untuk menjadikan keadaan lebih
parah buat Red Giants ialah apabila dua pemain remajanya iaitu Nazrul Erwan
Makmor dan Jaafar Salleh dari skuad Liga Simpanan dipanggil pula oleh Alan
Harris untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 19 tahun kebangsaan.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SulrfKn2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan