Sabtu, 11 Mac 2017

Bekalan Selangor tak cukup


 

ARKIB : 04/10/2000
PEMAIN Perak, Chan Kok Heng diapit oleh dua pemain Selangor, Nor Suhaimi Bahauddin (kiri) dan S. Sivaram pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 2-1. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI

SELANGOR mencerahkan peluang untuk menempatkan diri ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia sejak tiga tahun, selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak pada pertembungan separuh akhir pertama yang menarik di Stadium Shah Alam, semalam.

Kelebihan satu gol belum menjamin pasukan K. Rajagopal yang akan bertandang ke Ipoh untuk separuh akhir kedua Sabtu ini, untuk berdepan dengan skuad Karl Heinz Weigang yang pasti lebih mengganas di tempat sendiri.

Penyerang berskil tinggi, Azrul Amri Burhan mengejutkan pasukan tuan rumah dengan jaringan pembukaan ketika permainan memasuki suku jam, apabila memperdaya B. Rajinikandh sebelum menyepak leret kaki kiri ke sebelah kiri gawang Selangor, bola menerjah masuk di penjuru tanpa dapat dijangkau Azmin Azram Aziz yang melayangkan diri cuba menepisnya.

Namun, Rajinikandh menebus kecuaiannya dengan menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil, Nik Ahmad Yaakub, untuk jaringan penyamaan tuan rumah selepas Yusri Che Lah dijatuhkan Chan Kok Heng dalam kotak penalti pada minit ke-30.

Di hadapan 40,000 penonton stadium, mungkin bilangan tertinggi di Shah Alam sepanjang kempen ini, Nor Suhaimi Bahauddin bergaya menanduk masuk lencongan bola yang cantik daripada Mohd. Rizal Hassan untuk menggamatkan suasana jaringan kedua Selangor.

Jelas kedua-dua pasukan bermain penuh hati-hati, berusaha tidak membuat kesilapan larian-larian atau hantaran-hantaran tepat kepada rakan. Namun gemuruh tetap ada. Selangor dan Perak tidak mampu lari daripada faktor itu.

Penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman sepatutnya mencatat nama sebagai penjaring pembukaan, jika sepakannya menepati arah ke gawang pada minit ke-15 setelah mendapat lorongan Yusri.

Tetapi Perak membalas dan serangan pertama mereka rupanya membuahkan hasil untuk melenyapkan seketika sorakan tuan rumah dengan rembatannya, menggembirakan 15,000 penyokong setia Seladang.

Dan ketika itulah, Perak bagai leka apabila membenarkan Yusri menyambar bola dalam kotak penalti. Kok Heng mengasak Yusri dan ketika itulah, Nik Ahmad meniupkan wisel untuk sepakan penalti buat Selangor. Rajinikandh melorongkan bola ke kanan ketika Tay Sing Kiat melompat ke kiri.

Jelas Red Giants sudah dikejut dari lena. Nor Suhaimi berlari kencang meluru ke depan gawang dan Rizal yang menguasai bola di sebelah kiri, pantas melencongkannya ke tengah selepas menyedari luruan Suhaimi.

Pemain tengah itu menghulurkan kepala, bola menerjah jaring dan Rizal meluru ke bangku simpanan meraikan jaringan kedua Selangor.

Baki sepuluh minit babak pertama tiba-tiba berubah menjadi sedikit perlahan tetapi agak memihak kepada Perak yang berusaha memburu jaringan penyamaan ketika Selangor melunturkan serangan, tetapi ia berlarutan sehingga waktu rehat.

Anak buah Rajagopal bermain lebih tangkas pada babak kedua menerusi gerakan-gerakan memecah benteng lawan, tetapi Rusdi dan Yusri dikawal begitu ketat oleh barisan pertahanan skuad Weigang.

Permainan agak rancak apabila Weigang membawa masuk V. Saravanan untuk berganding dengan Khalid Jamlus di depan selepas mengeluarkan Azrul, setelah Rajagopal meletakkan M. Chandran di posisi kanan menggantikan S. Sivaram.

Namun segala usaha kedua-dua pasukan dinafikan oleh barisan pertahanan masing-masing untuk tidak mengubah kedudukan babak pertama.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b24kvq2y © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan