ARKIB : 31/07/2000
PARA pemain Selangor bakal
menerima durian runtuh hasil kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana Satu
apabila pihak pengurusan pasukan itu menepati janjinya untuk membahagikan
kesemua hadiah wang tunai RM150,000 kepada mereka.
Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar
Ahmad berkata, wang kemenangan itu juga akan dibahagi-bahagikan kepada
pegawai-pegawai tertentu yang telah bersama-sama berusaha untuk meletakkan
Selangor di tempatnya sekarang.
''Seperti yang kami janjikan,
wang RM150,000 itu akan dikembalikan semuanya kepada pemain-pemain. Kami juga
akan melangsaikan hutang elaun dua perlawanan kepada beberapa pemain yang akan
kami langsaikan secepat mungkin,'' kata Mokhtar di Seremban kelmarin.
''Para pegawai yang sama-sama
bekerja keras akan turut mendapat bahagian masing-masing,'' tambah beliau.
Selangor muncul juara pertama
Liga Perdana Satu alaf baru selepas menyingkirkan saingan sengit daripada Pulau
Pinang sehingga hari terakhir liga.
Sebelum itu, peluang Selangor
untuk kembali ke dalam perebutan gelaran setelah mendapat bonus tiga mata
daripada perlawanan dengan Sabah.
Mereka kemudian menundukkan
Negeri Sembilan 2-0 di Seremban sementara Pulau Pinang yang mendahului
kedudukan liga dari April lalu melepaskan peluang paling baik untuk merangkul
piala liga setelah sekadar seri 0-0 dengan Brunei di Bandar Seri Begawan
kelmarin.
Kedua-dua pasukan terikat
dengan 42 mata menjelang hari terakhir liga dengan Pulau Pinang memiliki
kelebihan dari segi jumlah jaringan serta hanya berdepan dengan pasukan
tercorot, Brunei.
''Kerja keras para pemain amat
kami hargai memandangkan pasukan ini berhadapan dengan banyak rintangan sejak
awal kempen liga,'' jelas Mokhtar.
Beliau merujuk kepada masalah
awal musim apabila lapan pemainnya dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan
sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan.
Ini juga merupakan kejayaan
pertama Selangor menjuarai Perdana Satu selepas 11 tahun. Selangor muncul naib
juara Perdana Dua tahun lepas.
Kejayaan itu juga hanya
menambahkan dahaga kejuaraan kepada pengurusnya, Datuk Mokhtar Ahmad yang kini
mahu anak-anak buahnya menumpukan perhatian kepada persaingan merebut Piala
Malaysia.
''Saya dahagakan satu lagi
kejuaraan iaitu Piala Malaysia,'' katanya.
Jelasnya, melihat kepada
prestasi Selangor yang semakin meningkat sepanjang kempen pusingan kedua liga
membuatkan beliau yakin pasukannya mampu menunjukkan persembahan lebih baik
lagi.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYd2sz3g
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan