Isnin, 20 Mac 2017

Selangor merendah diri

ARKIB : 19/01/2002
JURULATIH Selangor, Abdul Rahman Ibrahim meletakkan Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan bola sepak Piala Sumbangsih malam ini.

Katanya, selain memiliki kelebihan bermain di hadapan penyokong fanatiknya, Terengganu juga pasti masih bersemangat dengan kejayaan muncul juara Piala Malaysia.

``Terengganu adalah pasukan pilihan untuk menang malam ini. Mereka mempunyai segala kelebihan,'' kata jurulatih Red Giants itu.

``Tetapi kita sudah bersedia untuk memastikan Terengganu melalui perlawanan yang sukar.''

Terengganu akan berusaha mempertahankan Piala Sumbangsih apabila menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Tahun lalu, Terengganu muncul juara perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia itu dengan menumpaskan Perak 4-0 di stadium keramat skuad Penyu itu.

Selangor pula kali terakhir memenangi trofi pertama yang dipertandingan dalam Liga Malaysia itu pada 1997 apabila menundukkan Kedah 2-0 di Shah Alam.

Bagi Abdul Rahman, yang pernah membimbing Terengganu, kemenangan malam ini sangat berharga untuk skuadnya dengan harapan tiga mata pertama akan menjadi pembuka langkah cemerlang sepanjang kempen Perdana Satu dan Piala Malaysia.

Kata Abdul Rahman lagi, Selangor akan melangkah ke padang dengan misi untuk membalas dendam kekalahan kepada pasukan Penyu dalam suku akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam tahun lepas.

``Selain itu, kita juga kalah kepada mereka dalam perlawanan keempat liga tahun lepas,'' jelasnya.

Barisan kemungkinan Selangor: Azmin Azram Aziz, B. Rajanikandh, Nizam Jamil, Shamsul Amri Abu Bakar, Mohd. Aiman Wong, S. Sivaram, Jaafar Saleh, Tengku Hazman Raja Hassan, Mohd. Shukor Adan, Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof.




sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bqgr1WPk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan