Ahad, 19 Mac 2017

Selangor masih `buka pintu'

ARKIB : 17/01/2002
Oleh JOHARI SHAWAL
SELANGOR masih membuka ruang buat pemain import untuk kempen bola sepak Liga Malaysia musim ini biarpun sehingga kini belum ada mana-mana pemain yang berjaya memikat hati pengurusan skuad Red Giants.

Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, sejumlah 19 pemain telah menandatangani kontrak dengan Selangor dan mungkin akan mendapatkan khidmat seorang pemain import untuk mengisi satu lagi kekosongan.

``Kita mungkin mencari pemain di barisan pertahanan,'' kata Mokhtar selepas menyaksikan persembahan pasukannya dalam persahabatan dengan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Selangor menang 3-2 sebagai meraih keyakinan skuad Merah Kuning yang bakal bertarung dalam Liga Malaysia musim ini, dengan sasaran mempertahankan Piala FA, merebut semula Piala Liga dan kembali bergelar Raja Piala Malaysia.

Lebih-lebih lagi aksi sulung musim ini dalam Piala Sumbangsih Sabtu ini menentang pasukan gagah pantai timur, juara Piala Malaysia, Terengganu.

Selangor sebelum ini dikatakan mahu menggunakan khidmat dua pemain import dari Australia ketika skuad itu mengadakan persahabatan di Perth minggu lalu.

Bagaimanapun jurulatih Selangor, Abdul Rahman Ibrahim berkata, pemain berkenaan, Dion Valle dan P.J. Roberts gagal memikat pengurusan pasukan yang kemudian, bekas jurulatih kebangsaan itu menyuarakan kemungkinan Selangor tidak menggunakan khidmat pemain import untuk kempen awal Liga Malaysia.

Red Giants kembali menggunakan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan yang berhijrah dari Negeri Sembilan, pemain bawah 23 negara, Mohd. Shukor juga dari skuad Rusa musim lalu, pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Aiman Wong serta penjaga gol Perak, Azlisham Ibrahim.

Mokhtar berkata setiap pasukan mengimpikan kejayaan dan pasti meletakkan sasaran tertentu.

``Begitu juga Selangor. Tentulah kita mahu menempatkan pasukan pada kedudukan terbaik dan sama ada berjaya atau tidak, itu terserah kepada pemain,'' katanya.

Tambahnya, untuk mencapai hasrat itu, sikap semua pihak baik pemain atau jurulatih haruslah selari dengan aliran pengurusan.

``Komitmen semua pihak adalah dituntut,'' katanya
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bqVjiLEj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan