Isnin, 20 Mac 2017

Selangor tidak boleh padah lagi

ARKIB : 13/02/2002
SELANGOR tidak mampu menerima kekalahan lagi di gelanggang sendiri untuk memastikan penyokong setianya terus hadir ke Stadium Shah Alam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Ahmad Shah berkata, hanya kemenangan di gelanggang sendiri akan memastikan peminat Red Giants tidak putus asa untuk terus menggegarkan ruang gelanggang keramat Selangor itu dengan sorakan padu mereka.

``Kita mesti menang setiap perlawanan di tempat sendiri. Ini sangat penting untuk meyakinkan peminat agar mereka sentiasa memberikan sokongan kepada kita,'' katanya di Shah Alam.

Selangor yang setakat ini telah dua kali beraksi di depan penyokong sendiri mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan.

Perlawanan terbarunya ialah menentang Perak yang menyaksikan Selangor tewas 2-0 ketika munculnya tanda-tanda bahawa peminat sudah mula menaruh keyakinan terhadap mereka. Perlawanan itu disaksikan oleh kira-kira 10,000 penyokong setianya.

Sebelumnya, Selangor membuat sepak mula kempen Perdana Satu dengan bergaya, menundukkan juara Piala Malaysia, Terengganu 2-0 di tempat lawan untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah.

Anak buah bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim kemudian menundukkan Melaka 1-0 di tempat sendiri walau pun bermain dengan 10 orang.

Selangor ketika ini masih menaruh kepercayaan penuh bahawa pemain yang ada sekarang mampu menggalas harapan peminat dan FAS sendiri tanpa bantuan pemain luar.

Namun, kata Tengku Ahmad, itu tidak bermakna Selangor menutup terus pintunya daripada bantuan `pekerja asing'.

``...cuma kita perlukan sedikit masa lagi untuk mengenal pasti pemain yang akan menyarung jersi merah kuning. Kita mempunyai tempoh sehingga 1 Mei dan kita akan gunakan ruang masa ini dengan sepnuhnya untuk mencari pemain yang benar-benar bermutu,'' katanya.

Menurut Tengku Ahmad, FAS mula mengalihkan pandangannya ke negara Afrika atau Eropah Timur untuk mencari pemain setelah misi memburu pemain berkaliber di Australia gagal.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bs3f6hxm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan